SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan program pensijilan profesional setanding piawaian antarabangsa bagi menyekat badan profesional perakaunan luar negara dari terus menguasai pasaran tempatan.
Presiden Persatuan Akauntan Bertauliah Melayu (AMCAF), Mohd Noh Jidin berkata, tindakan itu penting bagi memastikan Malaysia mempunyai akauntan bertauliah yang beridentiti Malaysia tanpa perlu bergantung kepada pengiktirafan badan profesional seperti Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan The Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).
Malah menurutnya, Singapura sebagai contoh telah berjaya membangunkan Institute of Singapore Chartered Accountants (ISCA) yang kini diiktiraf di banyak negara, termasuk Malaysia.
"Program profesional tersebut boleh dikendalikan institusi pendidikan tempatan, malah yurannya boleh dikurangkan sehingga 90 peratus berbanding lesen perakaunan badan antarabangsa seperti ACCA yang menelan belanja hampir RM20,000.
Dalam pada itu beliau yang juga bekas Ahli Majlis Institut Akauntan Malaysia (MIA) berpandangan, dengan peruntukan yang lebih baik, dana berkenaan boleh diguna untuk membangunkan pendidikan perakaunan tempatan lebih berkualiti.
Secara tidak langsung ujarnya, negara dapat mengekalkan bakat terbaik dalam bidang tersebut di samping meningkatkan daya saing dan keupayaan profesional tempatan di peringkat global.
"Pengiktirafan dunia untuk akauntan bertauliah Malaysia akan mudah dicapai jika sistem yang ada di negara ini lebih tersusun dan memenuhi piawaian antarabangsa.
"Ini akan menggalakkan lebih banyak syarikat dan organisasi asing untuk beroperasi di Malaysia, sekali gus meningkatkan kredibiliti serta imej negara sebagai pusat kewangan dihormati,” katanya.
Sementara itu beliau menjelaskan, kos peperiksaan badan profesional perakaunan luar negara amat tinggi selain perlu dibayar mengikut mata wang asing.
Justeru ujarnya, tidak semua graduan perakaunan mampu mendapatkan kelayakan tersebut terutama mereka dari golongan berpendapatan rendah (B40).
"Malah kos untuk mengekalkan keahlian juga tinggi, boleh mencecah sehingga £1,200 (hampir RM7,000) bagi ACCA.
"Pelajar terutama yang datang dari keluarga B40 dan bumiputera, akan terpinggir apabila terpaksa membayar yuran tinggi untuk mengikuti program profesional luar negara.
"Ini adalah halangan besar yang perlu diatasi jika kita mahu mencapai masa depan yang inklusif dalam bidang perakaunan,” kata beliau.