HULU SELANGOR - Sebanyak 111.30 kilogram (kg) sampah telah dikutip di sekitar kawasan rekreasi Air Terjun Serendah menerusi program Kempen Sayangi Sungai.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan, antara sisa yang berjaya dikumpul termasuk lampin bayi, bahan logam seperti besi dan tin, plastik sekali guna, botol plastik, kaca, kertas, polisterin, fabrik dan lain-lain.
"Semua sisa ini dikumpul terlebih dahulu, kemudian diasingkan mengikut jenis dan ditimbang di akhir program ini.
"Hasil kutipan sisa akan direkodkan sebagai salah satu usaha untuk memantau jumlah sampah yang berjaya dikurangkan di kawasan air terjun ini.
"Program ini telah dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk sukarelawan alam sekitar, wakil daripada Kolej Komuniti Hulu Selangor serta kakitangan MPHS,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Untuk rekod, program tersebut merupakan anjuran MPHS Bahagian Kelestarian dan Kesejateraan Komuniti (KesKom), Jabatan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) dan Plogging Plus bersama rakan strategik, Sustainable Solution.
Dalam pada itu, MPHS berkata, pihaknya berharap agar program seumpama itu dapat menyemai budaya cintakan alam sekitar, khususnya di kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan ramai.
"Kawasan ini merupakan harta bersama yang perlu dipelihara oleh semua. MPHS percaya dengan kerjasama semua pihak, kita mampu memperkukuh usaha menjaga kebersihan sungai demi kesejahteraan bersama,” ujarnya.