KUALA LUMPUR – Sanggup menyorok di dalam tandas serta bersembunyi di ruangan bawah tangga antara tindakan warga asing yang cuba meloloskan diri dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah kompleks beli-belah di ibu kota pada Sabtu.
Malah, rata-rata warga asing yang ditahan sanggup berdalih dan memberikan alasan sekadar bersiar-siar untuk membeli barangan di kompleks berkenaan.
Bagaimanapun, alasan lapuk yang diberikan itu gagal apabila pemeriksaan dijalankan anggota serta pegawai imigresen mendapati kebanyakan warga asing yang ditahan itu bekerja di premis dalam kompleks terbabit.
Operasi yang bermula jam 2.30 petang dan berakhir dua jam kemudian itu membabitkan 106 pegawai Imigresen pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya melibatkan pemeriksaan seramai 964 individu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jefri Embok Taha berkata, daripada jumlah yang diperiksa, seramai 143 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
"Situasi agak kelam-kabut ketika kebanyakan warga asing menyedari kehadiran pasukan serbuan, pelbagai taktik dilakukan malah ada segelintir bertindak agresif dengan cuba meloloskan diri serta menyembunyikan dokumen.
"Kawasan kompleks yang sempit menyukarkan pemeriksaan, namun kami berjaya mengesan sebahagian daripada mereka yang bersembunyi di lokasi tidak dijangka seperti tandas, ruang bawah tangga, bilik persalinan pakaian dan stor," katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi di sini pada Sabtu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dijalankan menahan seramai 110 lelaki dan 33 wanita dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Antara yang ditahan adalah terdiri daripada warga Indonesia (24 lelaki, 32 perempuan), Bangladesh (26 lelaki), Pakistan (32 lelaki), India (10 lelaki), Myanmar (10 lelaki), Nepal (3 lelaki), Syria (4 lelaki), China (1 perempuan) dan Afghanistan (1 lelaki).
"Kesemua individu yang ditahan ini berusia antara 22 hingga 48 tahun," katanya.
Beliau berkata, alasan lazim yang diberikan ialah kononnya mereka sekadar 'jalan-jalan' di sekitar kawasan kompleks, namun pihaknya percaya ramai sebenarnya bekerja secara haram di sekitar premis terbabit.
"Risikan yang kami jalankan adalah selama tiga minggu, ketika serbuan dijalankan kebanyakan mereka berada di luar premis.
"Bagaimanapun, siasatan lanjut dijalankan mendapati mereka sebenarnya pekerja di premis-premis perniagaan dalam kompleks ini," katanya.
Jefri berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas lawatan.
"Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut.
"Operasi ini akan terus digiatkan sepanjang tahun ini bagi memastikan negara tidak menjadi lubuk pendatang haram," katanya.
Tegasnya, pemilik premis serta majikan turut diingatkan supaya tidak bersubahat menggajikan atau melindungi PATI.
"Kami juga menyeru orang awam untuk menyalurkan maklumat kepada pihak Imigresen melalui telefon, WhatsApp atau media sosial sekiranya mengesan kehadiran PATI di kawasan masing-masing," katanya.