PASIR PUTEH -"Cikgu... Sebut sahaja perkataan itu semua akan menoleh serentak kerana gelaran tersebut sudah sebati dalam keluarga besar kami.”Demikian perkongsian seorang pesara guru, Ab Aziz Ab Rahman, 73, dari Selising di sini yang mendedahkan keunikan keluarganya apabila seramai 16 ahli keluarga mereka merupakan warga pendidik.
Bermula dengan Ab Aziz sendiri sebagai abang sulung yang mendirikan rumah tangga bersama seorang guru, Azizah Ismail, 71, dua daripada enam anaknya termasuk seorang menantu perempuan turut mengikut jejak langkah menjadi guru.
Lebih membanggakan, tiga adiknya iaitu Samsudin, 70; Maimun, 68 dan Anwar 59 turut memilih kerjaya yang sama.
Isteri Samsudin, Salma Mohamed, 62, serta tiga daripada empat anak Maimun juga merupakan guru.
Ab Aziz turut mempunyai empat orang anak saudara yang merupakan guru dan jumlah keseluruhannya ialah seramai 16 orang pendidik.
Bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa itu berkata, beliau serta adik beradiknya memilih kerjaya yang mulia di sisi masyarakat itu hasil dorongan arwah ayah mereka yang hanya bekerja sebagai tukang jahit dan wakil pos.
"Ayah kami aktif dalam pengurusan sekolah rendah dan menengah walaupun kerjayanya sederhana. Daripada ayah lah kami mendapat inspirasi untuk terus menimba ilmu dan menyumbang bakti sebagai pendidik.
"Pada asalnya saya bekerja dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) namun dorongan ayah membuatkan saya menukar haluan menjadi guru,” katanya kepada Sinar Harian.
Ab Aziz berkata, melihat kecekalan beliau menjadi pencetus semangat kepada adik-adiknya yang lain untuk mengikut jejak langkah yang sama.
Menurutnya, pengalaman mendidik pelajar era 80an, 90an sangat berbeza berbanding hari ini.
"Dulu, guru bukan sahaja mengajar, tetapi mendidik dari segi disiplin dan akhlak. Pelajar dibentuk menjadi insan berguna. Kalau nakal, kita boleh jentik, suruh cabut rumput atau cuci longkang. Hari ini, semuanya terhad, guru pula yang berisiko disaman,” jelasnya.
Namun, kata beliau, cabaran semasa tidak sesekali melemahkan semangat keluarganya untuk terus berbakti dalam bidang pendidikan.
Ujarnya, setiap kali berkumpul terutamanya ketika musim perayaan atau kenduri, topik perbualan mereka tidak lari daripada isu pendidikan.
"Sebagai orang lama, kami berkongsi pengalaman dengan guru baharu dalam keluarga. Kami tidak pernah memaksa anak cucu menyambung legasi. Tetapi jika ada yang berminat, kami amat mengalu-alukan.
"Menjadi guru adalah satu kerjaya yang mulia, bukan sekadar mendidik tetapi membentuk insan berguna untuk agama, bangsa dan negara,” katanya yang bertugas di sekolah sama sepanjang perkhidmatannya.