Pekerja pasar raya merungut, Kelantan kaji semula operasi hari pertama Aidilfitri

Iklan
Hilmi

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan akan mengkaji semula operasi pasar raya pada hari pertama Aidilfitri susulan rungutan pekerja sektor berkenaan yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah, berkata perkara itu diberi perhatian kerana golongan berkenaan terpaksa bekerja pada hari raya pertama, sedangkan sebelum ini kebanyakan premis perniagaan di Kelantan ditutup sepenuhnya pada hari tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sebelum ini pekerja sektor itu berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga berikutan amalan penutupan kedai secara menyeluruh di negeri ini. Namun, bermula tahun lalu, sebahagian pasar raya besar mula beroperasi pada hari raya pertama.

“Ada rungutan di media sosial daripada pekerja pasar raya yang meminta supaya amalan sebelum ini diguna pakai semula, iaitu semua kedai ditutup pada hari pertama Aidilfitri.

Iklan

“Sebagai pihak kerajaan tempatan, kita memandang serius perkara ini dan akan membuat kajian semula,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Hilmi bagaimanapun menjelaskan bahawa dalam konteks pasar raya besar, terdapat ikatan perjanjian dengan vendor dan pengurusan pusat yang melibatkan operasi seluruh negara, di mana ia bukan keputusan di peringkat negeri semata-mata.

Iklan

Sehubungan itu, beliau berkata satu kajian menyeluruh akan dilakukan melibatkan pandangan pekerja, pengurusan pasar raya serta pihak berkepentingan lain bagi mencari penyelesaian terbaik yang seimbang antara kebajikan pekerja dan keperluan operasi perniagaan.

“Hasil kajian ini akan dibentangkan dalam mesyuarat Exco negeri yang akan datang untuk mendapatkan pengesyoran dan keputusan lanjut,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri komited untuk menjaga kebajikan pekerja tempatan, khususnya dalam isu yang melibatkan sensitiviti sosial dan keagamaan seperti sambutan Aidilfitri.

Sebelum itu, tular luahan pekerja pasar raya yang meminta kerajaan negeri mengeluarkan arahan agar semua premis perniagaan menutup operasi pada hari pertama Aidilfitri.