MBDK diingat tingkat kecekapan perkhidmatan seiring status bandar raya

Iklan
Ahmad Fadzli (tengah) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada warga kerja MBDK sambil disaksikan oleh Abdul Hamid (kiri) dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sanjungan Budi MBDK 2024 di Hotel Wyndham Acmar, di sini pada Jumaat.

KLANG - Warga kerja Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) diingatkan supaya sentiasa peka terhadap teguran berkenaan kelewatan perkhidmatan, ketirisan sumber dan kelemahan proses dalaman bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, cabaran yang dihadapi penjawat awam itu jauh lebih kompleks, terutama selepas Klang diangkat sebagai bandar raya.

Iklan
Iklan

"Kita tidak menafikan kelemahan ini wujud, tetapi apa yang kurang diberi tumpuan ialah usaha memperkukuh sistem sokongan dalaman seperti aliran maklumat yang pantas, pemantapan kawalan operasi dan peningkatan latihan kepada anggota.

"Perubahan tidak berlaku dalam sehari tetapi komitmen berterusan yang disertai dengan kesediaan untuk berubah akan menjadi asas kepada perkhidmatan awam yang lebih dipercayai dan dihormati.

Iklan

"Dalam masa sama, integriti perlu terus menjadi asas utama dalam setiap tindakan dan keputusan kita. Isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan walaupun kecil akan memberi kesan besar terhadap kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan,” katanya.

Antara warga kerja MBDK yang hadir dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sanjungan Budi MBDK 2024 di Hotel Wyndham Acmar, di sini pada Jumaat

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sanjungan Budi MBDK 2024 di Hotel Wyndham Acmar, di sini pada Jumaat.

Iklan

Dalam majlis tersebut, seramai 128 penjawat awam daripada pelbagai jabatan telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi 2024, selain 25 pesara yang terdiri daripada pesara wajib dan pilihan turut menerima penghargaan daripada MBDK.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Klang, Datuk Abdul Hamid Hussain berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu perlu memperkasakan usaha berterusan bagi memastikan kebersihan di Klang sentiasa terjamin.

"Klang merupakan sebuah bandar yang kaya dengan sejarah, warisan dan identiti tersendiri. Sebagai bekas ibu negeri Selangor dan pintu masuk penting negara melalui Pelabuhan Klang, bandar ini mempunyai potensi besar untuk terus maju sebagai bandar berkelas dunia.

"Tetapi, kemajuan tidak akan bermakna sekiranya aspek kebersihan dipandang ringan. Imej sesebuah bandar sangat bergantung kepada kebersihan.

"Pelancong, pelabur dan penduduk sendiri akan menilai sesebuah kawasan bukan sahaja melalui infrastruktur dan pembangunan fizikal tetapi melalui tahap kebersihan dan penjagaan persekitaran,” ujarnya.