JOHOR BAHRU - Tiga wanita melibatkan pemilik agensi pencarian calon bagi institut latihan memandu serta dua bekas keraninya mengaku tidak bersalah terhadap 106 pertuduhan bersubahat dan menerima suapan sebagai upah bagi meluluskan calon-calon ujian berkomputer, dua tahun lalu.
Tertuduh, Nuratika Natasha Mohd Salleh, 25; Nurieta Amat Pale, 36; dan bekas majikannya, Siti Norafidah Othman, 45, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail setelah kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Nuratika Natasha berdepan 29 pertuduhan menerima suapan daripada seorang wanita berusia 26 tahun yang melakukan transaksi ke dalam akaunnya sebagai upah untuk membantu meluluskan ujian bahagian berkomputer calon-calon ujian lesen memandu.
Wanita itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah bank di Kota Tinggi antara 1 Ogos hingga 15 Oktober 2023, membabitkan jumlah keseluruhan RM48,741.
Sementara itu, Nurieta berdepan 24 pertuduhan menerima suapan daripada Nuratika Natasha yang melakukan transaksi ke akaun bank miliknya sebagai upah membantu meluluskan ujian bahagian berkomputer bagi calon-calon ujian lesen memandu.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar antara 1 Ogos hingga 21 Oktober 2023 lalu yang melibatkan jumlah keseluruhan RM21,172.
Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Dalam prosiding sama, Siti Norafidah yang berdepan 53 pertuduhan dituduh bersubahat dengan dua bekas keraninya itu menerima suapan berjumlah keseluruhan RM69,913 bagi tujuan yang sama.
Perbuatan itu dilakukan dalam tempoh dan lokasi yang sama membabitkan kedua-dua tertuduh berkenaan.
Pendakwaan terhadap wanita itu dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 – mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Fazal Lisam Abidin manakala Nuratika Natasha dan Nurieta diwakili peguam Syufri A. Samad dan Naufal Amran, sementara Siti Norafidah diwakili peguam Abdul Rahim Ali.
Mahkamah membenarkan Nuratika Natasha dan Nurieta diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sementara itu, Siti Norafidah turut dibenarkan ikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.