Lelaki pandu lawan arus, sebabkan kemalangan beberapa kenderaan

Iklan
Tangkap layar video memaparkan sebuah kenderaan dipandu secara melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Dato Abu Bakar 16/1 Petaling Jaya pada Jumaat.

PETALING JAYA – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Jalan Dato Abu Bakar 16/1 di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.15 tengah hari.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku jam 11.28 pagi apabila sebuah kenderaan jenis Honda CRV berwarna merah dipandu secara melawan arus sebelum terlibat perlanggaran dengan beberapa kenderaan lain yang melalui jalan tersebut.

“Kesemua pemandu kenderaan yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Honda CRC dipandu melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan beberapa kenderaan.

Shamsudin berkata, pemandu Honda CRV telah ditahan bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang jalan raya,” ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan atau berada di lokasi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammad Najib Mohd Azaman di talian 012-3526147 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.