IPOH - Dua lelaki yang terjatuh ke dalam Empangan Sultan Azlan Shah di Ulu Kinta di sini pada Jumaat disyaki menceroboh kawasan tersebut bagi menjalankan kegiatan mencuri kabel.
Dalam kejadian sekitar jam 12.40 malam itu, seorang daripadanya berjaya diselamatkan anggota bomba sementara seorang lagi masih hilang dikhuatiri lemas.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian curi kabel di kawasan pencawang berkenaan sebelum dimaklumkan mengenai insiden lemas berhampiran lokasi sama.
"Suspek yang terselamat berusia 34 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
"Operasi mencari dan menyelamat rakannya berusia 32 tahun masih dijalankan oleh pihak bomba," katanya ketika dihubungi pemberita.
Beliau berkata, empangan yang berketinggian kira-kira sembilan meter tersebut merupakan kawasan empangan berisiko tinggi.
"Anggota bomba telah membuat pemantauan di sekitar lokasi menggunakan bot bagi mengesan mangsa yang disyaki lemas," katanya.
Insiden itu disedari pihak pengurusan empangan selepas pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat dua lelaki berada di kawasan berkenaan dengan seorang daripadanya tenggelam dan seorang lagi berada di permukaan air.