Wanita tak mengaku tawar khidmat doktor gigi haram

Iklan
Nur Hafizah tidak mengaku menjalankan amalan pergigian tanpa tauliah dan menyediakan perkhidmatan pergigian swasta di rumah.

SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan menjalankan amalan pergigian dan menyediakan klinik pergigian secara haram di sebuah rumah tahun lalu.

Tertuduh, Nur Hafizah Harun, 21, yang merupakan seorang penganggur, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menjalankan amalan pergigian sedangkan beliau bukan pengamal pergigian berdaftar di bawah Akta Pergigian 2018 [Akta 804].

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Nusa Intan, Senawang, Seremban pada 6 Disember 2024 kira-kira jam 8.50 malam.

Iklan

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 [Akta 804] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 62(3) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan kedua, pada tarikh dan lokasi yang sama, tertuduh didakwa menyediakan sebuah klinik pergigian swasta yang tidak didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

Iklan

Bagi pertuduhan itu, tertuduh dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1) Akta 586.

Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Musfirah Musa memohon jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan, dengan seorang penjamin warganegara, serta syarat tambahan iaitu tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya ada.

"Kesalahan ini melibatkan kepentingan awam dan kesihatan awam. Penggunaan peralatan yang tidak diketahui tahap kebersihan dan kandungannya berisiko menyebabkan penyebaran penyakit berjangkit seperti hepatitis dan HIV.

"Pendakwaan memohon agar mahkamah menetapkan jaminan dengan syarat tambahan bagi menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah,” katanya.

Peguam tertuduh, A Partheeban dalam rayuannya memohon jumlah jaminan yang rendah dan munasabah memandangkan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap serta akan dijamin oleh abangnya yang bekerja sebagai kelindan lori.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh juga diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 12 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.