Muhyiddin mahu Hakim Mahkamah Tinggi dengar 7 kes guna kedudukan, AMLA

Iklan
Pihak pembelaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi memfailkan permohonan agar tujuh kes dihadapinya, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada 4 April lalu.

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi memfailkan permohonan agar tujuh kes dihadapinya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada 4 April lalu.

Semasa sebutan kes di hadapan Hakim Azura Alwi, peguam Tang Jia Wearn yang mewakili Muhyiddin, 78, berkata, ia melibatkan empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan sebanyak RM232.5 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) mencecah RM200 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, prosiding pendengaran bagi permohonan berkenaan ditetapkan pada 16 Jun depan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin.

"Oleh itu, saya mohon mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes, berhubung status permohonan tersebut,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat berkata, pihak pendakwaan telah menyerahkan baki senarai nama saksi, bagi kes AMLA kepada pembelaan.

"Kami telah menyerahkan senarai itu pagi ini,” katanya yang turut hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat dan Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal.

Iklan

Hakim, Azura kemudian menetapkan 11 Julai depan untuk pengurusan kes bagi status perkembangan permohonan berkenaan.

Beliau turut membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya kehadiran Muhyiddin dikecualikan semasa pengurusan kes terbabit.

Dalam prosiding ini, Muhyiddin tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguamnya.

Pada 4 April lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi, dengan alasan ia melibatkan persoalan dan isu undang-undang yang boleh menimbulkan kesulitan luar biasa di sisi undang-undang.

Menerusi dokumen yang diperoleh, ahli politik itu berkata, ini merupakan kes berkepentingan awam yang menarik perhatian umum dan mendapat liputan media yang meluas dari dalam dan luar negara.

Sehubungan itu beliau memohon perbicaraan berkenaan dijalankan di hadapan seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang berpengalaman dan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkepentingan awam.

Beliau percaya pemindahan tujuh kes ke Mahkamah Tinggi, tidak akan menimbulkan kesulitan atau kemudaratan.

Sebaliknya beliau berkata, pemindahan kes akan memudahkan semua pihak yang terlibat dan tidak akan memprejudiskan mana-mana pihak.

Pada 10 Julai 2023, Muhyiddin menarik balik permohonan untuk memindahkan kesnya ke Mahkamah Tinggi selepas pihaknya menghantar surat penarikan permohonan itu kepada pendakwaan pada 5 Julai 2023.

Menerusi surat permohonan menari balik pemindahan itu, Muhyiddin juga memohon untuk membatalkan pertuduhan-pertuduhan dan permohonan untuk memindahkan kes akan menjadi akademik, jika permohonan membatalkan pertuduhan dibenarkan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.

Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu.

Pada 15 Ogos 2023, Muhyiddin dilepaskan dan dibebaskan daripada empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya untuk membatalkan kes itu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa, keempat-empat pertuduhan tersebut kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, pada 28 Februari 2024, Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengarahkan empat kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin.

Beliau yang bersidang bersama Hakim, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S M Komathy Suppiah kemudiannya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.