[VIDEO] ‘Doa dapat jodoh, rakan terima saya seadanya...’

Iklan

MAKKAH –"Di Arafah nanti saya nak doa supaya rakan-rakan di tanah air terima saya seadanya, dikurniakan jodoh dan kesihatan yang baik, selain menerima pekerjaan tetap.”

Itu luahan Aminuddin Hassan, 36, bekas pesakit kanser mata yang merupakan antara 31,600 jemaah Malaysia terpilih mengerjakan haji bagi musim 1446H/2025M.

Iklan
Iklan

Aminuddin berkata, beliau menghidap kanser tersebut sejak berusia dua tahun dan telah melalui tiga kali pembedahan sebelum disahkan sembuh sepenuhnya.

Berasal dari Kuala Terengganu, anak ketiga daripada tujuh beradik itu bersyukur kerana diberikan peluang oleh Lembaga Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima walaupun tidak pernah menunaikan umrah sebelum ini.

Iklan

"Saya datang ke Tanah Suci ini bersama kakak yang turut terpilih dan adik, Ahmad Muzzakir, 32, sebagai pengiring.

"Saya dapat tahu nama terpilih (untuk tunaikan haji) akhir Disember lalu. Ini semua rezeki ALLAH SWT. Saya nak doakan agar semua ahli keluarga dan rakan-rakan dapat buat umrah dan tunaikan haji juga satu hari nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di Land Premium di sini.

Iklan

Atikah (kiri), Aminuddin (tengah) dan Ahmad Muzzakir gembira dapat ke Tanah Suci menunaikan Rukun Islam kelima.

Aminuddin berkata, beliau bersyukur dapat menunaikan haji hasil kegigihan bapanya, Hassan Wahid, 66, yang menyimpan wang di Tabung Haji untuk semua adik-beradiknya sejak mereka masih kecil.

Katanya, ibu dan bapanya juga sering menyuruh beliau dan adik-beradiknya memasang niat untuk menunaikan haji sejak kecil.

"Bapa saya simpan duit dan daftar haji untuk kami semua tujuh beradik sejak kami kecil lagi. Saya tak tahu berapa dia potong gaji setiap bulan untuk simpankan wang untuk kami.

"Bila dah bekerja, kami sambung simpan guna duit sendiri di Tabung Haji,” katanya.

Sebelum itu, Aminuddin berkata, meskipun mengalami kecacatan fizikal, beliau tetap bersyukur dapat menunaikan ibadah itu.

"Apalah sangat ujian saya ini, saya tengok orang lain ada yang tiada kaki tetapi tetap kuat beribadah.

"Saya terima qada dan qadar ALLAH dengan reda,” katanya.

Tiga beradik ini bersyukur bapa mereka membuka akaun Tabung Haji dan mendaftarkan haji ketika usia mereka masih kecil.

Kakak Aminuddin, Atikah, 40, pula berkata, beliau berasa terharu dapat ke Tanah Suci menunaikan haji bersama dua adiknya hasil usaha bapa mereka membuka akaun Tabung Haji untuknya sebaik pulang menunaikan ibadat itu pada tahun 1995.

"Lepas ayah balik haji, dia terus daftarkan dan simpan duit Tabung Haji untuk anak-anak. Saya anak sulung, masa umur 10 tahun ayah dah mula menyimpan.

"Syukur sangat sebab saya dapat tunaikan haji ketika usia masih muda lagi,” katanya.

Atikah yang menjaga adik-beradiknya selepas kematian ibu sembilan tahun lalu berkata, perjalanan mereka tiga beradik dipermudahkan sepanjang berada di Tanah Suci.

"Alhamdulillah, perjalanan kami ke sini dipermudahkan. Rakan sebilik pun semua baik-baik belaka,” katanya.