NEW YORK – Pasaran saham global, nilai dolar Amerika Syarikat (AS) dan harga minyak mentah melonjak pada Isnin susulan pengumuman gencatan senjata selama 90 hari dalam perang tarif antara AS dan China.
Pengarah Penyelidikan XTB, Kathleen Brooks berkata, dagangan di Wall Street ditutup kukuh dengan Indeks Standard & Poor’s 500 (S&P 500) naik 3.3 peratus, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap gencatan dagang antara AS dan China.
Brooks berpandangan, kejatuhan mata wang selamat dan pengurangan ketara dalam jangkaan terhadap pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) merupakan antara punca kenaikan pasaran saham.
"Pelabur tidak menjangka perubahan besar terhadap kadar tarif antara AS dan China, sekali gus memberikan isyarat positif kepada ekonomi global dan AS.
"Reaksi positif turut disaksikan di Asia apabila pasaran saham Hong Kong ditutup tiga peratus lebih tinggi,” katanya menurut laporan AFP.
Sementara itu, Indeks Cotation Assistée en Continu (CAC 40) yang mewakili 40 syarikat terbesar di Bursa Saham Paris meningkat 1.4 peratus, manakala Indeks DAX di Frankfurt mencatat paras tertinggi baharu sebelum kembali susut.
Saham syarikat barangan mewah LVMH iaitu pengeluar beg tangan Louis Vuitton pula menjadi penyumbang utama kenaikan di Paris dengan lonjakan tujuh peratus.
Dalam masa sama, dolar AS mengukuh berbanding euro, yen dan pound Britain, manakala harga minyak turut mencatat kenaikan ketara.
Terdahulu, pasaran kewangan mengalami ketidaktentuan sejak Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif tinggi terhadap rakan dagang global bermula 2 April lalu.
China menerima impak paling besar apabila dikenakan tarif sehingga 145 peratus, mendorong Beijing bertindak balas dengan tarif balas sebanyak 125 peratus.
Bagaimanapun, selepas dua hari rundingan penting di Geneva, kedua-dua kuasa besar itu mencapai persetujuan untuk meredakan ketegangan yang mencetuskan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi global.
Dalam kenyataan bersama, AS bersetuju menurunkan kadar tarif kepada 30 peratus manakala China akan merendahkan kadar tarif terhadap barangan AS kepada 10 peratus untuk tempoh 90 hari bermula 14 Mei.
Sementara itu, Ketua Penganalisis Pasaran di Briefing.com, Patrick O'Hare berkata, tiada kebimbangan sama ada langkah ini kekal atau tidak kerana pelabur lebih mementingkan pengurangan ketegangan serta kadar tarif yang lebih munasabah untuk perniagaan AS dan perdagangan global.
Penganalisis bank J. Safra Sarasin, Karsten Junius bagaimanapun memberi peringatan agar pasaran kekal berhati-hati.
"Kami menjangkakan pasaran kewangan akan terus berdepan turun naik dalam beberapa bulan akan datang kerana pelabur sudah tidak lagi menjangkakan kejutan ekonomi negatif. Sebarang halangan baharu dalam rundingan boleh menjejaskan pasaran.
"Pelabur juga menanti data inflasi dan jualan runcit AS yang bakal diumumkan minggu ini bagi menilai kedudukan semasa ekonomi terbesar dunia itu selepas pelaksanaan tarif bermula,” katanya.
Penutupan pasaran utama:
Dow Jones: Meningkat 2.8 peratus kepada 42,410.10
S&P 500: Meningkat 3.3 peratus kepada 5,844.19
Nasdaq Composite: Meningkat 4.4 peratus kepada 18,708.34
CAC 40 (Paris): Meningkat 1.4 peratus kepada 7,850.10
DAX (Frankfurt): Meningkat 0.3 peratus kepada 23,566.54
FTSE 100 (London): Meningkat 0.6 peratus kepada 8,604.98
Nikkei 225 (Tokyo): Meningkat 0.4 peratus kepada 37,644.26
Hang Seng (Hong Kong): Meningkat 3.0 peratus kepada 23,549.46
Shanghai Composite: Meningkat 0.8 peratus kepada 3,369.24
Tukaran mata wang:
Euro/dolar: Menurun kepada AS$1.1089
Pound/dolar: Menurun kepada AS$1.3173
Dolar/yen: Meningkat kepada 148.38 yen
Euro/pound: Menurun kepada 84.18 pence
Harga minyak:
Brent: Meningkat 1.6 peratus kepada AS$64.96 setong
WTI: Meningkat 3.2 peratus kepada AS$61.95 setong