ISKANDAR PUTERI - Polis menahan seorang mekanik yang disyaki mencuri komponen kenderaan milik majikannya di kedai servis kenderaan di Taman Harmoni 2, Skudai di sini, Khamis lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, M Kumarasan, pihaknya menerima laporan mengenai perkara itu daripada seorang wanita berusia 31 tahun yang juga pengurus bengkel tersebut.
"Wanita berkenaan telah melaporkan berlaku kecurian alat ganti kenderaan di bengkel tersebut dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM6,000.
"Bertindak atas maklumat pada pukul 11.25 malam Khamis, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah berjaya menahan pekerja bengkel berkenaan.
"Lelaki warga tempatan berusia 23 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Taman Universiti, Skudai," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menerusi tangkapan itu, pihak polis turut merampas barang-barang seperti enam set rim pelbagai jenis dan warna serta 14 kotak penyerap hentak pelbagai jenama.
Semakan polis mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah kesalahan lampau dan hasil ujian air kencing juga didapati negatif.
Suspek ditahan selama tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri harta milik majikan.