GAZA CITY - Dalam tahun kedua kempen ketenteraan Israel di Gaza, golongan wanita di seluruh wilayah ini terus dicengkam penderitaan yang sukar digambarkan.
Dengan kediaman musnah, keluarga hancur dan kehidupan seharian yang perlu diteruskan demi kelangsungan hidup, para ibu telah menjadi barisan pertahanan terakhir bagi anak-anak dan harapan masa depan, lapor Anadolu Ajansi.
Sejak Israel melancarkan perang terhadap Gaza pada 7 Oktober 2023, wanita Palestin telah melalui pengusiran paksa, kelaparan, dahaga, dan kehidupan dalam tempat perlindungan sementara.
Namun, kesedihan paling dalam hadir dengan kehilangan insan tersayang – suami dan saudara terkorban, meninggalkan mereka membesarkan anak-anak sendirian di bawah ancaman bom.
Wartawan Ula Husso memaklumkan kepada Anadolu bahawa dia dan keluarganya telah beberapa kali dipindahkan sejak perang bermula.
Dia kehilangan kedua-dua abangnya dalam serangan Israel, dan akibat pengusiran paksa, dia tidak sempat melihat jasad abangnya yang sulung.
Beberapa bulan kemudian, selepas tentera Israel berundur dari Hospital Al-Shifa di Gaza City, dia kembali dengan harapan untuk menemui jasad abangnya.
"Alhamdulillah, saya menemui jasadnya dalam keadaan utuh. Di antara jasad-jasad itu, saya mengenalinya. Itu adalah saat yang sangat sukar bagi saya. Saya mengeluarkannya dari sana dan memindahkannya ke tempat lain,” katanya.
Kehilangan kedua-dua abang membuatkan Husso jatuh dalam kemurungan sehingga terpaksa menangguhkan kerjayanya sebagai wartawan.
"Pada masa itu, suami saya memberi sokongan luar biasa. Terima kasih kepadanya, saya mengambil semula kamera dan mula merakamkan adegan jenayah serta aktiviti untuk kanak-kanak. Perlahan-lahan, saya mendapatkan semula keyakinan dan kembali menjadi wartawan,” katanya.
Namun, proses pemulihan itu terhenti apabila suaminya turut terkorban dalam serangan Israel.
"Itulah saat saya sedar bahawa saya perlu menjadi kuat kerana saya tidak lagi mempunyai sesiapa untuk bergantung. Selepas kehilangan suami dan kedua-dua abang saya, saya hanya ada diri sendiri untuk dijadikan sandaran,” katanya.
"Wanita Gaza harus kuat demi anak-anak mereka. Saya mempunyai seorang anak lelaki dan saya tidak boleh menyerah. Alhamdulillah, saya mengatasi semua cabaran dan terus bekerja. Walaupun bekerja, saya sentiasa bimbang tentangnya. Saya selalu tertanya-tanya jika sesuatu berlaku padanya,” katanya.
Husso menyifatkan kaum ibu di Gaza sebagai"wanita paling kuat di dunia" kerana menanggung keadaan yang hanya segelintir mampu bertahan.
"Kami menjadi ibu dan bapa. Ramai wanita menjadi balu, tetapi kerana mereka mempunyai anak-anak dan tanggungjawab, mereka perlu bangkit. Mereka perlu kuat untuk diri mereka sendiri dan anak-anak. Ibu-ibu Gaza setara dengan 100 lelaki,” ujarnya.
Wafa Abu Aita, seorang lagi ibu yang menjadi balu sejak awal perang, kini membesarkan lima anak sendirian.
Pengusiran berterusan dan krisis makanan menyebabkan kehidupan menjadi semakin sukar, dengan makanan sukar diperoleh dan harga yang semakin meningkat.
"Amat sukar bagi ibu-ibu yang kehilangan suami. Yang paling menyakitkan bagi saya sepanjang perang ini adalah kehilangan suami saya. Menanggung begitu banyak tanggungjawab tanpa pendapatan sangat mencabar,” katanya.
Abu Aita berkata dia bergantung pada keimanan dan peranannya sebagai ibu untuk terus bertahan.
"Anak-anak adalah amanah Tuhan kepada ibu bapa mereka,” ujarnya, sambil menegaskan bahawa membesarkan anak-anak dengan baik tetap menjadi kewajipan yang akan dilaksanakannya walau dalam kehancuran.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 52,800 rakyat Palestin – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak – telah terkorban sejak Israel melancarkan serangan ke atas wilayah itu.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Israel turut berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. - Bernama-Anadolu