KUALA KANGSAR - Kecekapan pasukan penyelamat berjaya mengelakkan kejadian lebih buruk selepas sebuah lori tangki membawa muatan minyak petrol terbalik dalam kejadian di Kilometer 259 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.01 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar segera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan sebuah lori tangki yang membawa muatan sebanyak 45,000 liter minyak petrol.
"Setibanya di lokasi, didapati lori tangki berkenaan telah terbabas dan terbalik di tepi jalan. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kemalangan ini.
"Siasatan awal mendapati berlaku kebocoran pada bahagian penutup tangki mengakibatkan lelehan minyak keluar dari bahagian berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, ketua operasi segera menjalankan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER atau Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap dengan mengarahkan pemantauan rapi dilakukan terhadap kawasan sekitar kebocoran.
"Hasil pemerhatian mendapati kebocoran adalah terkawal dan tidak memasuki sistem perparitan atau longkang berhampiran," katanya.
Tambah beliau, bagi mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar serta kebakaran, lelehan minyak diserap menggunakan sisa habuk kayu bagi mengekang ia merebak ke kawasan lain.
Katanya, ketua operasi kemudian memohon bantuan daripada syarikat pengangkutan untuk menghantar sebuah lori tangki tambahan serta kren bagi memindahkan minyak dan menstabilkan kenderaan yang terbalik.
"Proses pemindahan minyak dilakukan dengan bantuan pasukan penyelenggaraan daripada syarikat Petron sebaik sahaja kelengkapan bantuan tiba di lokasi kejadian.
"Setelah kerja-kerja pemindahan selesai dijalankan, lori tangki berkenaan berjaya distabilkan dan dialihkan dari kawasan kejadian," katanya.
Menurut Sabarodzi, operasi yang melibatkan sembilan anggota bomba dengan kekuatan satu jentera dan satu lori tangki air itu turut mendapat kerjasama lima anggota polis, tiga pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan empat petugas PLUS Malaysia Berhad.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.18 pagi hari ini (Sabtu)," katanya.