MELAKA - Kafe Al Wahhab di Masjid Al Wahhab, Permatang Duyong di sini yang disita pada Oktober tahun lalu akan terus beroperasi semula bagi menjana pendapatan dan memperkasakan ekonomi rumah ibadat itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mengakui, sebelum ini kafe berkenaan telah disita oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kerana pembinaannya tidak mengikut prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Namun menurutnya, setelah campur tangan beberapa pihak terlibat, kafe berkenaan telah mendapat kelulusan agensi berkaitan serta lesen niaga selain kebenaran pendudukan sementara pada Februari lalu.
"Kemudahan kafe itu bagi memastikan masjid tidak hanya bergantung pendapatan melalui kutipan derma sahaja, perlu lebih kreatif mencari dana sendiri dengan berniaga.
"Semua nak buat perlukan duit, ini yang saya buat, cari duit untuk masjid. Jangka pendek jimat, jangka panjang dapat.
"Vendor juga dah diberi arahan jangan jual mahal, jemaah masjid diberi diskaun, budak pakai baju sekolah diskaun dan orang susah bagi makan percuma dan vendor sanggup," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Mohd Noor Helmy membuat hantaran itu bagi menjawab persoalan mengenai kafe yang telah disita itu beroperasi semula.
Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka berkata, masjid perlu menjadi pusat ummah dengan memperbanyak serta mempelbagai aktiviti terutama bagi membantu golongan yang memerlukan.
"Saya harap setiap institusi masjid tidak penat untuk terus melakukan kebaikan kerana janji ALLAH itu pasti, lebih banyak wang dibelanja pada jalan-Nya, akan lebih banyak duit akan masuk.
"Saya bangga menyatakan DUN Duyong merupakan satu-satunya DUN dalam Melaka (mungkin Malaysia) yang semua masjidnya menanggung kos pengurusan jenazah anak kariah.
"Ni baru satu masjid, lagi tiga masjid saya nak ikhtiarkan sebab Duyong ada empat masjid. Kalau ada 50 masjid, 50-50 saya korporatkan," tulisnya lagi.