Pakistan pula lancar beberapa siri serangan ke atas India

Iklan
Sekeluarga duduk di sebuah restoran terbuka sejurus sebelum serangan dipercayai dilancarkan oleh Pakistan di Jammu, pada Khamis . - Foto Agensi

ISLAMABAD - Tentera Pakistan melancarkan beberapa siri serangan menggunakan dron dan peluru berpandu di sepanjang keseluruhan sempadan barat India pada malam Khamis dan awal pagi Jumaat, menurut kenyataan Tentera Darat India.

Insiden ini berlaku susulan serangan udara oleh India ke atas beberapa lokasi di Pakistan pada Rabu yang didakwa sebagai ‘kem militan’, sebagai tindak balas terhadap serangan berdarah ke atas pelancong di Kashmir bulan lalu.

Iklan
Iklan

Pakistan bagaimanapun menafikan penglibatan dalam serangan tersebut. Namun, sejak itu, kedua-dua negara telah berbalas tembakan rentas sempadan, termasuk pelancaran dron dan peluru berpandu ke ruang udara masing-masing. Hampir 50 nyawa dilaporkan terkorban dalam keganasan yang berterusan ini.

Ini merupakan pertempuran paling dahsyat sejak konflik terhad di wilayah Kargil, Kashmir pada 1999. Serangan India ke atas wilayah utama Pakistan di luar kawasan Kashmir yang dikuasai Pakistan juga merupakan yang pertama sejak perang besar antara kedua-dua negara pada tahun 1971.

Iklan

Tentera India berkata, pasukan Pakistan telah melakukan ‘banyak pelanggaran gencatan senjata’ di sepanjang sempadan de facto di Kashmir – wilayah yang dituntut sepenuhnya oleh kedua-dua negara.

"Serangan dron berjaya dipatahkan dan tindakan balas setimpal telah diberikan terhadap pelanggaran gencatan senjata,” menurut kenyataan Tentera India yang turut memberi amaran bahawa sebarang niat jahat akan dihadapi dengan kekuatan sepenuhnya.

Iklan

Bagaimanapun, Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar menyifatkan dakwaan India itu sebagai ‘tidak berasas dan mengelirukan’, serta menegaskan bahawa Pakistan tidak melancarkan sebarang serangan terhadap wilayah India, termasuk Kashmir dan luar sempadan.

Pakistan sebelum ini menafikan tuduhan bahawa ia menyerang bandar Pathankot di Punjab, Srinagar di Lembah Kashmir dan Jaisalmer di negeri Rajasthan. Islamabad menyifatkan tuduhan India itu sebagai bermotif politik dan tidak berasas.

Pasukan Keselamatan Sempadan India berkata satu cubaan pencerobohan besar berjaya dipatahkan di kawasan Samba, Kashmir pada malam Khamis. Sementara itu, tembakan meriam berat turut dilaporkan di kawasan Uri pada pagi Jumaat.

Seorang pegawai keselamatan yang enggan dikenali memberitahu,"Beberapa rumah terbakar dan rosak akibat tembakan meriam... seorang wanita terbunuh dan tiga lagi cedera dalam serangan pada waktu malam.”

Di bandar sempadan Amritsar, yang menempatkan Kuil Emas suci penganut Sikh, siren berbunyi selama lebih dua jam pagi Jumaat dan penduduk diarahkan untuk kekal di dalam rumah.

Hotel-hotel di kawasan itu melaporkan penurunan mendadak kadar penginapan apabila pelancong mula meninggalkan bandar itu melalui jalan darat selepas lapangan terbang ditutup.

Langkah berjaga-jaga turut diambil di kawasan sempadan lain termasuk Bhuj, Gujarat, di mana pihak berkuasa menyediakan bas-bas pelancong sebagai persediaan memindahkan penduduk sekiranya perlu.

Di Bikaner, Rajasthan, semua sekolah dan pusat tuisyen ditutup, manakala penduduk berhampiran sempadan diminta berpindah ke kawasan lebih selamat atau menetap sementara dengan saudara-mara. Kerajaan juga menyediakan pusat pemindahan sementara.

Seorang pelajar Universiti Pertanian, Sains dan Teknologi Sher-e-Kashmir di Jammu, Ansab, berkata letupan yang berlaku sekitar jam 4 pagi (waktu tempatan) amat kuat.

"Selama dua hingga tiga minit, bunyinya sangat kuat hingga tingkap bergegar seolah-olah mahu pecah. Udara selepas itu menjadi kelam, berasap bercampur kabus,” katanya.

Kuasa-kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat dan China menggesa kedua-dua negara menenangkan keadaan. Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, pada Khamis sekali lagi merayu agar ketegangan dikurangkan segera.

"Kami mahu konflik ini reda secepat mungkin. Tetapi kami tidak boleh mengawal tindakan kedua-dua negara ini,” katanya dalam satu temu bual di rancangan Fox News, The Story with Martha MacCallum.

Hubungan antara India yang majoriti penduduknya beragama Hindu dan Pakistan yang majoriti Islam sememangnya tegang sejak pemisahan kedua-duanya daripada jajahan British pada tahun 1947.

Wilayah Kashmir yang bermajoriti penduduk Islam menjadi punca utama permusuhan, dan dua daripada tiga peperangan antara India dan Pakistan berlaku akibat tuntutan terhadap wilayah itu.