Banyak geran Kementerian Kewangan gagal dimanfaatkan PMKS - Mohd Shahar

Iklan
Mohd Shahar ketika program Interviu pada Khamis. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah mendedahkan bahawa banyak geran di bawah Kementerian Kewangan tidak digunakan disebabkan ketidakupayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk memenuhi syarat-syarat yang digariskan oleh kerajaan.

Menurutnya, perkara tersebut dapat diperhatikan semasa beliau berkhidmat di kementerian berkenaan dan menjadi isyarat jelas kepada kerajaan untuk terus membantu PMKS agar lebih berdaya saing, khususnya dalam menghadapi krisis tarif global.

Iklan
Iklan

"Kita mesti membina keupayaan PMKS supaya mereka dapat memanfaatkan geran-geran yang disediakan oleh kerajaan.

"Semasa saya di Kementerian Kewangan, banyak geran kerajaan tidak dimanfaatkan kerana ketidakupayaan PMKS untuk menyertai inisiatif yang dihasratkan oleh kerajaan.

Iklan

"Kerajaan mengaspirasikan sesuatu perkara dan menyediakan pelbagai inisiatif, tetapi kegagalan dan kekangan yang dihadapi PMKS menafikan peluang mereka untuk terlibat,” katanya dalam program Interviu yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Program tersebut dihoskan oleh Haizir Othman dan membincangkan tajuk 'Perang Tarif dan Ketidaktentuan: Apa Strategi Kita?'.

Iklan

Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, sebagai persediaan menghadapi krisis tarif, PMKS juga perlu dibantu untuk meneroka pasaran antarabangsa agar tidak terus bergantung kepada dagangan domestik.

"Populasi kita tidak sebesar negara lain, maka keupayaan untuk berkembang dalam pasaran domestik agak terhad.

"Sebab itu saya setuju agar kerajaan memberi tumpuan bukan sahaja kepada penyediaan produk, tetapi juga kepada inisiatif yang membantu mengurangkan kos logistik dan promosi.

"Kadangkala, mereka ingin membawa produk yang berkualiti ke luar negara seperti ke pasaran ASEAN, tetapi tidak mampu disebabkan kos tiket penerbangan, bayaran untuk urusan di sana dan kos penyertaan pameran.

"Ia menjadi penghalang. Hanya syarikat yang mempunyai keupayaan kewangan sahaja yang mampu berada di luar negara... padahal apabila mereka dapat tembus ke pasaran luar, ia akan membuka peluang lebih luas,” katanya.