IPOH - [DIKEMAS KINI] Meskipun dana RM1.8 juta yang diperlukan oleh Masjid Ar-Ridzuan Alor Pongsu untuk menebus tanah dijual mencukupi, sumbangan Jumaat masjid-masjid seluruh Perak tidak akan dihentikan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, bagaimanapun semua masjid berkenaan diberikan pilihan untuk menyerahkan sumbangan tersebut atau sebaliknya.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan dibuat bersama Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
"Hasil perbincangan YDP MAIPk dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid JAIPk sebentar tadi telah memutuskan terpulang kepada masjid-masjid sama ada nak meneruskan kutipan atau pun tidak untuk Jumaat ini sahaja.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Pengerusi Masjid Ar-Ridzuan, Yusuf Majid memaklumkan, sejumlah RM1,977,482.20 berjaya dikumpulkan setakat jam 8 malam pada Rabu, sekali gus melebihi sasaran asal RM1.8 juta yang ditetapkan oleh pemilik tanah berkenaan bagi urusan jual beli.
Sementara itu, beberapa pempengaruh media sosial yang turut membantu mengumumkan bahawa jumlah kutipan yang diperlukan oleh masjid berkenaan bukan sahaja mencukupi malah melebihi sasaran.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, memaklumkan bahawa sumbangan bagi pembelian tanah Masjid Ar-Ridzuan telah pun ditutup secara rasmi selepas berjaya mengumpulkan RM1.97 juta.
Jelas beliau, jumlah tersebut berjaya dikumpulkan dalam tempoh 36 jam selepas dilancarkan.
Pada 5 Mei lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, mengumumkan bahawa semua masjid di Perak akan menyumbang melalui kutipan mingguan Jumaat mulai esok kepada Masjid Ar-Ridzuan bagi membantu menebus kembali tanah yang telah terjual.
Susulan itu, JAIPk telah mengedarkan surat kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan Surau Diri Jumaat (SDJ) di Perak bertajuk Selamatkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai bagi tujuan sumbangan tersebut.
Menerusi surat tersebut, JAIPk menyarankan supaya masjid-masjid dan SDJ di negeri ini menyediakan tabung khas untuk kutipan pada 9 dan 16 Mei 2025.
Pihak masjid dan surau terbabit akan menyalurkan kutipan itu kepada akaun yang telah disediakan oleh JAIPk atas nama Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan, dengan nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad 08013010091983.
Sebelum ini, media melaporkan tanah wakaf masjid berkenaan telah berpindah milik kepada seorang individu bukan Islam tanpa pengetahuan pihak pengurusan masjid.
Pemilik tanah memberikan dua pilihan kepada pihak masjid, iaitu membeli semula tanah tersebut atau merobohkan semua struktur sedia ada di atasnya.