Dana tebus tanah masjid RM1.8 juta cukup tak sampai 36 jam

Iklan
Firdaus Wong melalui hantaran di Facebook memaklumkan kutipan diperlukan masjid berkenaan telah mencukupi. (Laporan Sinar Harian berkaitan dana bagi menyelamatkan tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan.)

IPOH – Hasrat menyelamatkan tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan di sini membuahkan hasil apabila kutipan dana mencecah hampir RM2 juta dalam tempoh kurang 36 jam.

Pengerusi masjid, Yusuf Majid berkata, sejumlah RM1,977,482.20 berjaya dikumpulkan setakat jam 8 malam pada Rabu, melebihi sasaran asal RM1.8 juta yang ditetapkan pemilik tanah berkenaan bagi urusan jual beli.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berikutan kutipan mencukupi, pihaknya menutup secara rasmi sumbangan orang ramai pada jam 8.30 malam dan memaklumkan perkara itu kepada semua pihak terlibat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang membantu menjayakan kutipan tersebut.

"Laporan mengenai penutupan sumbangan seperti yang ditularkan itu benar. Kita akan adakan sesi penutupan rasmi dan memaklumkan kepada semua bahawa dana sudah mencukupi untuk menebus tanah bagi kegunaan masjid ini,” katanya kepada pemberita pada malam Rabu.

Iklan

Menurutnya, pihak masjid juga amat terharu dengan sokongan luar biasa pelbagai pihak yang menyumbang dan membantu menyebarkan maklumat mengenai kutipan itu dalam usaha menyelamatkan tanah wakaf berkenaan.

Tambahnya, pengurusan masjid kini hanya menunggu arahan lanjut daripada JAIPk bagi proses seterusnya dalam penebusan semula tanah berkenaan.

Iklan

Terdahulu, beberapa pempengaruh media sosial yang bersama-sama membantu mengumumkan dalam akaun media sosial masing-masing bahawa jumlah kutipan yang diperlukan oleh masjid berkenaan mencukupi malah melebihi sasaran.

Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, memaklumkan sumbangan bagi pembelian tanah Masjid Ar-Ridzuan telah pun ditutup secara rasmi selepas berjaya mengumpul RM1.97 juta.

Jelas beliau, jumlah tersebut berjaya dikumpul dalam tempoh 36 jam selepas dilancarkan.

Sebelum ini, media melaporkan tanah wakaf masjid berkenaan telah berpindah milik kepada seorang individu bukan Islam yang menetap di Kuala Lumpur tanpa pengetahuan pihak pengurusan masjid.

Pemilik tanah memberikan dua pilihan kepada pihak masjid, iaitu membeli semula tanah tersebut atau merobohkan semua struktur sedia ada di atasnya.