KUANTAN – Tiga premis di sekitar Taman Perumahan Sungai Isap dikesan ingkar arahan dan gagal mematuhi notis penghapusan kacau ganggu yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sejak Mac lalu.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Nor Hayatul Huda Othman berkata, kegagalan mematuhi notis tersebut menyebabkan pihaknya mengambil tindakan tegas dengan melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi berkenaan.
Menurutnya, tindakan itu termasuk membuang dua reban ayam haram serta timbunan barang terpakai yang mengganggu kebersihan kawasan hijau.
"Setakat 30 April lalu, sebanyak 154 notis telah dikeluarkan kepada premis-premis yang melanggar peraturan.
"Daripada jumlah itu, 151 notis telah dipatuhi, sementara 10 lagi masih dalam pemantauan, namun hanya tiga premis terus ingkar tanpa sebarang maklum balas atau tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau menjelaskan, operasi penguatkuasaan turut dijalankan di beberapa kawasan lain, termasuk Kampung Chendering, Batu Enam Gambang, dan Kampung Pandan, bagi memastikan kebersihan dan keselamatan persekitaran terjaga.
Tambahnya, MBK akan terus memantau premis-premis yang menimbulkan gangguan kepada penduduk, terutama berkaitan masalah bau, keselamatan dan kesihatan yang boleh mengancam kesejahteraan penduduk sekitar.
"Ini adalah langkah tegas MBK bagj memastikan tiada aktiviti mengganggu ketenteraman awam, terutamanya melibatkan premis yang mengumpul barang lusuh atau menjalankan aktiviti yang memberi kesan negatif kepada persekitaran,” jelasnya.
Nor Hayatul Huda memaklumkan, sikap pemilik premis yang tidak bertanggungjawab adalah cabaran utama MBK dalam membanteras aktiviti kacau ganggu ini.
Justeru, mereka diminta untuk lebih peka terhadap peraturan dan memastikan kawasan mereka sentiasa bersih dan teratur.
"MBK tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan terhadap premis yang ingkar dengan bekerjasama dengan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta Telekom Malaysia (TM) bagi memastikan penguatkuasaan berjalan lancar dan berkesan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengusaha barang lusuh agar tidak mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan kepada masyarakat dan alam sekitar.
"Pematuhan undang-undang adalah tanggungjawab bersama dan kami menggesa pengusaha untuk lebih bertanggungjawab agar kejadian seperti ini tidak berulang,” ujarnya.