Untung bersih SD Guthrie meningkat lebih dua kali ganda kepada RM567 juta

Iklan
SD Guthrie Berhad

SD Guthrie Berhad (SD Guthrie), yang dahulunya dikenali sebagai Sime Darby Plantation Berhad, mencatatkan permulaan yang memberangsangkan bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan keuntungan bersih sebanyak RM567 juta.

Pengerusi SD Guthrie, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, pencapaian tersebut merupakan peningkatan sebanyak 169 peratus berbanding keuntungan bersih RM211 juta yang dicatatkan pada tahun lepas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) syarikat turut meningkat sebanyak 118 peratus dari tahun ke tahun (YoY) kepada RM818 juta, disokong oleh prestasi kukuh segmen huluan yang mengimbangi prestasi menurun segmen hiliran.

"Segmen huluan mencapai harga purata minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi YoY, serta peningkatan pengeluaran buah tandan segar (FFB). Harga purata yang direalisasikan bagi setiap metrik tan (MT) CPO (RM4,576/MT) dan PK (RM3,342/MT) masing-masing meningkat sebanyak 18 peratus dan 72 peratus.

Iklan

"Pengeluaran FFB oleh operasi syarikat di Indonesia meningkat sebanyak 11 peratus, manakala pengeluaran di Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon meningkat sebanyak 10 peratus, sekali gus mengimbangi penurunan sebanyak 7 peratus dalam operasi syarikat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Nik Norzrul Thani, SD Guthrie International (SDGI), cabang hiliran syarikat, mencatatkan PBIT lebih rendah sebanyak RM76 juta pada suku pertama tahun ini, iaitu penurunan sebanyak 37 peratus YoY.

Iklan

Jelasnya, prestasi SDGI terjejas akibat margin yang lebih rendah dalam segmen produk pukal dan terbeza serta permintaan yang menurun dalam operasi dagangan dan di Eropah.

Walau bagaimanapun, penurunan ini diimbangi sebahagiannya oleh prestasi yang lebih baik dan keuntungan yang lebih tinggi daripada operasi Asia Pasifiknya.

"Untuk jangka masa pendek dan sederhana akan datang, tekanan inflasi berterusan berikutan dasar-dasar kewangan dan dagangan yang tidak menentu serta keadaan geopolitik yang masih bergolak adalah antara cabaran persekitaran dunia yang perlu ditangani dengan lebih berwaspada.

"Seperti yang telah dibuktikan sebelum ini, saya percaya SD Guthrie mempunyai daya tahan dan keupayaan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut, dengan pengalaman luas dan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada pihak pengurusan dan warga kerja kami,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha pula berkata, peningkatan keuntungan bersih ini merupakan satu permulaan tahun kewangan yang baik bagi SD Guthrie melalui prestasi yang memberangsangkan.

Katanya, ia hasil daripada inisiatif kecemerlangan operasi yang dilaksanakan secara berterusan.

"Kami sedia maklum bahawa keadaan ekonomi serta geopolitik dunia mungkin memerlukan perubahan strategik untuk memastikan syarikat ini kekal di atas landasan yang kukuh sepanjang tahun kewangan 2025.

"Dalam pada itu, satu perkembangan positif bagi sektor perniagaan taman perindustrian telah kami capai baru-baru ini melalui perjanjian tiga pihak untuk membangunkan salah satu tanah utama kami di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan yang berada dalam kawasan pertumbuhan Malaysia Vision Valley 2.0,” ujar beliau.