PORT DICKSON - Cadangan pelupusan anjing liar oleh Negeri Sembilan sebelum ini akan mengikut tatacara dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan pelaksanaan itu tidak akan dibuat sewenang-wenangnya.
"Apa diumumkan Menteri Besar itu bukan bermakna pelupusan anjing ini boleh dibuat sewenang-wenangnya.
"Kita jangan salah faham, apa yang dimaksudkan itu ialah mengikut tatacara, bermakna setiap PBT ada kaedah pelupusan bagi menyelesaikan masalah anjing liar tidak terkawal yang boleh menyebabkan kacau ganggu," katanya mengulas cadangan pelupusan anjing liar di kawasan majoriti Melayu oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Rabu lalu.
Jalaluddin ditemui sempena Program Pemuliharaan Biodiversiti Marine di Pantai Tanjung Biru pada Selasa.
Beliau berkata, cadangan pelupusan itu selepas lambakan anjing liar itu menimbulkan rasa tidak selamat kepada penduduk sekitar selain terdapat kes kecederaan diserang haiwan berkenaan.
Katanya, kerajaan negeri turut menerima aduan berhubung haiwan itu secara bebas memasuki rumah ibadah orang Islam.
"Terdapat juga kes yang menunjukkan situasi tidak terkawal (anjing liar) di tempat Melayu.
"Inilah tindakan yang akan diambil oleh kerajaan negeri melalui PBT dari masa ke masa.
"Selepas ini, PBT akan diminta untuk melaporkan situasi anjing liar di kawasan masing-masing untuk diambil tindakan," ujar beliau.
Ditanya berkenaan cadangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewujudkan pusat perlindungan anjing liar sebagai satu produk pelancongan di Port Dickson, beliau berpandangan itu bukan cadangan yang sesuai untuk dilaksanakan ketika ini.
Rabu lalu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan sebulat suara bersetuju bahawa kaedah pelupusan anjing liar di kawasan majoriti penempatan Melayu perlu dilaksanakan bagi mengatasi isu kacau ganggu dan keselamatan.
Aminuddin berkata, lambakan anjing liar telah mengganggu urusan harian penduduk dan isu yang sama juga sering kali dibangkitkan setiap kali berlangsung Sidang DUN seolah-olah kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengatasi permasalahan tersebut.
Bagaimanapun cadangan tersebut telah mendapat maklum balas kurang senang daripada beberapa pihak antaranya Pertubuhan Bersatu Negeri Sembilan yang menyifatkan kenyataan Aminuddin itu sebagai tidak sensitif dan bercanggah dengan prinsip kemanusiaan.
Pengerusinya, Datuk Seri S Surash menggesa kerajaan negeri menghentikan segera rancangan pelupusan itu sebaliknya bekerjasama dengan NGO kebajikan haiwan untuk melaksanakan program Tangkap, Mandul dan Lepaskan (TNR) yang telah terbukti berkesan dan beretika.
Sebuah lagi NGO, Persekutuan Generasi Bersekutu Negeri Sembilan pula mencadangkan anjing liar tersebut ditangkap kemudian divaksin sebelum dijadikan sebahagian daripada produk pelancongan seperti Cat Paradise di Batu Feringgi, Pulau Pinang.
Pengerusinya, Syed Ariffin Abu Thahir turut mencadangkan haiwan berkenaan diberi latihan untuk digunakan dalam operasi menyelamat dan penguatkuasaan.
Ujarnya, tindakan menyeluruh menangani lambakan anjing liar di daerah itu perlu dilakukan dengan pendekatan bertanggungjawab, perikemanusiaan dan mematuhi undang-undang tempatan.