Sultan Perak rasmi pusat pengeluaran benih padi sah PPN Perak

Iklan
Sultan Nazrin melihat benih padi sah yang dipamerkan sempena perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak.

PARIT BUNTAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan berangkat merasmikan Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di sini pada Selasa.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, dan Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Iklan
Iklan

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar.

Dalam majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan gimik perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian, sebelum melawat pameran yang disediakan.

Iklan

Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah PPN Perak, yang dibangunkan dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM12.72 juta, dijangka beroperasi sepenuhnya pada bulan ini. Pembangunan semula pusat tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan keterjaminan makanan negara melalui pengeluaran benih padi sah yang mencukupi, berkualiti, dan mudah diakses oleh pesawah di seluruh negara.

Mohamad Sabu dalam ucapannya berkata, pusat berkenaan dilengkapi dengan mesin dan teknologi terkini bagi memastikan kualiti benih padi yang dihasilkan memenuhi piawaian ditetapkan kerajaan.

Iklan

Menurutnya, pengoperasian pusat tersebut mampu menghasilkan kira-kira 250,000 beg Benih Padi Sah (BPS) dengan kapasiti pengeluaran 5,000 tan metrik benih padi sah setahun.

"Ini akan memberi manfaat kepada 16,000 pesawah di negeri Perak dengan keluasan tanaman padi seluas 36,000 hektar,” katanya.

Beliau menambah, tahun ini kementerian memberi tumpuan kepada dua agenda utama iaitu mereformasi industri padi dan beras negara serta meningkatkan produktiviti ruminan, khususnya pengeluaran daging lembu dan kerbau.

Katanya, reformasi industri padi dan beras tidak hanya bertujuan untuk kemandirian bekalan, tetapi juga membawa industri ke tahap yang lebih tinggi serta meningkatkan pendapatan para pesawah.

"Kini kadar penggunaan beras bertambah, bermaksud pengeluaran padi perlu ditingkatkan dengan keperluan penggunaan benih padi sah yang bermutu oleh pesawah di lapangan.

"Ini bermaksud kita perlu mencapai sekurang-kurangnya 71 peratus pengeluaran beras berbanding sekarang hanya 56 peratus, dengan faktor cuaca yang menyebabkan kekurangan hasil,” katanya.

Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah PPN Perak merupakan satu daripada empat pusat baharu yang dibangunkan oleh LPP, yang dijangka menyumbang 28 peratus kepada keperluan benih padi sah negara atau bersamaan 20,000 tan metrik setahun. Dengan kapasiti pengeluaran satu juta beg (20 kilogram setiap beg) setahun, empat pusat tersebut – di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, dan Perak – mampu menyokong penanaman padi seluas 142,857 hektar di seluruh negara, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal pihak ketiga.