BEIJING - Pasangan suami isteri asal China yang memiliki 15 juta pengikut dalam talian mengumumkan bakal berhenti daripada dunia penstriman langsung.
Memetik laporan South China Morning Post (SCMP), keputusan tersebut dibuat selepas kedua-duanya mengakui alami keletihan melampau selepas muncul ke udara lebih 1,000 kali dalam tempoh lima tahun.
Pasangan dari wilayah Sichuan, barat daya China yang dikenali dengan nama @caihongfufu itu membuat pengumuman berkenaan pada 20 April lalu dan memutuskan untuk berehat sehingga dapat mencari keseimbangan antara kerja dan kehidupan.
Sang isteri, Sun Caihong mengakui terlalu letih dengan sesi penstriman yang dikatakan 'tidak berkesudahan' kerana setiap satu daripadanya mengambil masa lebih lapan jam.
Jelas wanita terbabit, dirinya tiada masa untuk bersama keluarga, apatah lagi merawat kerosakan pada peti suaranya.
"Kami bekerja keras merebut peluang yang ada, namun akhirnya sedar bahawa sikap tamak tidak membawa ke mana-mana.
"Ia kerana kami berasal daripada golongan bawahan, sepatutnya kami bersyukur dengan apa yang sudah dicapai.
"Kini, saya dan suami berhasrat untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga sebelum kembali ke dunia penstriman langsung, namun dengan cara yang lebih seimbang supaya tidak memudaratkan diri,” kata Caihong.
Chaihong turut mendedahkan, dia tidak pernah berhenti bekerja sejak melahirkan empat anaknya dalam tempoh lima tahun kebelakangan.
Wanita berusia 35 tahun itu memberitahu pasukannya supaya menghentikan segala perancangan penstriman baharu dan mahu belajar untuk berehat serta menikmati hidup bersama suaminya, Guo Bin, 32.
Difahamkan, masing-masing sebelum ini bekerja dalam bidang jualan insurans sebelum bergelar pempengaruh.
Pada 2020, mereka mula berkongsi kisah cinta dan mendirikan rumah tangga pada 2018 di media sosial sehingga berjaya menarik tiga juta pengikut dalam masa hanya setahun.
Kemudian, kedua-duanya merancang untuk menubuhkan syarikat sendiri dan aktif menjual barangan keperluan harian secara dalam talian.
Pada 2022 pula, mereka mendedahkan mampu mencatat jualan sebanyak 230 juta yuan (kira-kira RM150 juta) dan meraih pendapatan empat juta yuan (kira-kira RM2.6 juta) dalam masa hanya sehari.
Menurut pasangan itu, sebelum ini kedua-duanya pernah tinggal di dalam bilik sewa kecil berkeluasan lapan meter persegi sambil melakukan kerja sambilan demi kelangsungan hidup.
Mereka berjaya memperoleh pendapatan tahunan sejuta yuan (kira-kira RM655,000) hasil jualan insurans dan membeli rumah serta kereta pertama.
Hasil kejayaan dalam dunia penstriman jualan, mereka berupaya membeli kediaman mewah berkeluasan 260 meter persegi bernilai enam juta yuan (kira-kira RM3.9 juta) selain menjemput ibu bapa dan adik-beradik untuk tinggal bersama serta membantu menguruskan perniagaan.