Terlajak raya sampai bulan Zulkaedah

Iklan
Sekarang sudah memasuki minggu kedua bulan Zulkaedah namun masih lagi kedengaran majlis sambutan Aidilfitri. Gambar hiasan

HUJUNG minggu lalu, Merak Jalanan berkunjung ke rumah adik sambil bawa anak-anak berjalan.

Bagaimanapun, masih boleh dilihat di jalan raya, golongan lelaki memakai baju Melayu lengkap dan berkurung cantik seolah-olah masih lagi menyambut Aidilfitri.

Iklan
Iklan

Bagi Merak Jalanan, baguslah memakai baju kebangsaan tersebut walau bukan pada hari perayaan dan kenduri perkahwinan, malah lagi sopan dan cantik mata memandang.

Jika dilihat pada kalendar Islam, kita sekarang sudah memasuki minggu kedua bulan Zulkaedah namun masih lagi kedengaran majlis sambutan Aidilfitri, bahkan ditambah pula perkataan ‘terlajak’.

Iklan

Bahkan jika diikutkan sambutan Aidilfitri yang sebenarnya mengikut Islam, ia hanya disambut pada 1 Syawal.

Merak Jalanan bukan mahu ‘membidaahkan’ budaya orang kita ini, malah jika diikutkan perbuatan menjamu orang ramai merupakan perbuatan sunnah Nabi Muhammad SAW dan besar ganjaran pahalanya.

Iklan

Namun sebagai tetamu, beringatlah dalam mengambil juadah. Jika tiga atau empat tempat mengadakan jamuan, tidak perlulah semua tempat untuk makan berat dan minum minuman manis.

Sebulan berpuasa Ramadan berat kita boleh turun empat atau lima kilogram, sebaliknya masuk sahaja seminggu Syawal, berat naik berganda-ganda pula.

Bagaimanapun, apa yang positifnya jamuan dan kenduri ini adalah kita semua termasuk Merak Jalanan dapat merapatkan ukhuwah dan silaturahim.

Mungkin hari-hari lain kita sibuk dengan tanggungjawab kerja dan sebagainya, ketika jamuanlah untuk berjumpa sanak saudara dan rakan-rakan lama. Jumpa dan sembang serta ketawa, itu yang mahal sebenarnya.