Perkukuh keyakinan global terhadap ekosistem digital negara

Iklan
Anuar (kanan) bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

KUALA LUMPUR – Seiring Kepengerusian ASEAN 2025 dan usaha memperkasa agenda transformasi digital negara, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil tampil dengan visi jelas dan komitmen tanpa henti terhadap kemajuan inklusif.

Dalam temu bual bersama Sinar Harian, Anuar Fariz berkata, masa depan digital Malaysia harus berakar umbi dalam usaha mencipta impak sebenar dan berpanjangan untuk perniagaan, komuniti dan individu.

Iklan
Iklan

"Misi kita jelas, untuk membina ekonomi digital yang inovatif, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.

Sejak pelantikannya pada Oktober tahun lalu, Anuar Fariz telah menggerakkan transformasi strategik di MDEC dengan menyesuaikan semula agensi tersebut agar lebih berorientasikan perniagaan, tangkas dan mesra pelabur. Hasilnya kini mula kelihatan.

Iklan

Beliau menyifatkan kejayaan ini berpunca daripada tiga teras utama iaitu memperkukuh daya saing global, memupuk inovasi tempatan dan memastikan tiada yang ketinggalan.

"Ekonomi digital harus menjadi tangga peluang untuk semua, bukan sekadar platform segelintir pihak,” katanya.

Iklan

Kepimpinan beliau turut mencerminkan pandangan jauh. Ketika dunia bergerak ke arah kecerdasan buatan (AI), teknologi lestari dan kemunculan sempadan digital baharu seperti pengkomputeran kuantum, beliau percaya Malaysia mesti menempatkan diri bukan sekadar sebagai pengguna, tetapi sebagai peneraju.

"Rakyat Malaysia menghargai impak teknologi terhadap kehidupan mereka. Namun, apa yang lebih penting, kita semua harus berusaha untuk menjadi pengeluar teknologi, bukan sekadar pengguna, agar kita menjadi lebih produktif sebagai sebuah negara.

"Kepimpinan digital hari ini adalah tentang menetapkan standard, memupuk kerjasama dan membentuk perbualan yang akan menentukan dekad akan datang,” katanya.

Anuar Fariz Fadzil

Sehubungan itu, Anuar Fariz menerajui sesi sumbang saran bersama agensi pembangunan dan sektor swasta seluruh negeri, bertujuan memacu transformasi digital di peringkat negeri, memupuk inovasi tempatan dan mencipta peluang ekonomi mampan.

"Negeri-negeri merupakan komponen penting dalam tumpuan jangka panjang MDEC untuk mencapai sasaran sumbangan ekonomi digital sebanyak 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang akhir tahun 2025.

"Setiap negeri mempunyai kekuatan tersendiri – Johor dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Pulau Pinang dengan sektor semikonduktor yang mantap, dan Sarawak dengan wawasan Ekonomi Digital 2030 serta infrastruktur awam digital yang semakin berkembang.

"Matlamatnya adalah untuk memastikan penglibatan kekal praktikal, strategik dan berimpak,” katanya.

Menyedari kepentingan ini, Kementerian Digital dan MDEC telah menubuhkan pejabat negeri di Pulau Pinang dan Johor, manakala pejabat di Kuching bakal dilancarkan tidak lama lagi dengan kerjasama Kementerian Digital.

Pejabat berkenaan berfungsi sebagai hab bagi pasukan MDEC bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri, industri, akademia, masyarakat dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam mengumpulkan sumber, memacu penyelidikan dan menggalakkan pertukaran pengetahuan.

"Dengan memanfaatkan kepakaran MDEC, kita dapat bekerjasama dengan pihak negeri untuk membuka laluan baharu kepada inovasi, pertumbuhan dan daya saing.

"Di Pulau Pinang, ini melibatkan sokongan terhadap penerimaan digital oleh PMKS yang sejajar dengan Strategi Semikonduktor Negara.

"Di Johor, ia melibatkan usaha mempromosikan pelaburan digital yang berkualiti dan memperkukuh saluran bakat untuk agenda Digital Johor 2030,” katanya.

Sementara di Sarawak, tumpuannya adalah untuk merealisasikan ekonomi yang didorong teknologi dan mampan dari segi alam sekitar seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.

Semua inisiatif ini kembali kepada Malaysia Digital, program utama MDEC yang menyediakan sokongan nyata di lapangan termasuk insentif kewangan, pembangunan kapasiti dan panduan secara langsung.

Perancangan untuk negeri-negeri lain juga sedang dijalankan bagi memastikan tiada yang tercicir.

Sementara itu, di MDEC, Anuar Fariz telah memacu perubahan budaya ke arah lebih kecekapan, kerjasama dan kecemerlangan dalam pelaksanaan.

Kerjasama antara sektor awam, swasta dan akademik turut diperkukuh bagi memastikan MDEC tidak hanya bertindak sebagai pengawal selia, tetapi juga sebagai pemudah cara dalam ekonomi digital Malaysia yang sedang berkembang pesat.

Menurut beliau, kerajaan menetapkan dasar digital negara, MDEC menterjemahkan dasar itu kepada inisiatif yang boleh dilaksanakan, manakala sektor swasta memacu inovasi, pelaburan dan pengkomersialan.

"Ia adalah ekosistem kerjasama di mana setiap sektor memainkan peranan dan hanya dengan bekerjasama kita dapat membina negara digital yang inklusif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Teknologi Nasional Malaysia, Alex Liew menyatakan bahawa Anuar Fariz telah membawa budaya pengurusan syarikat multinasional yang kukuh ke dalam MDEC.

"Beliau telah memperkenalkan budaya kerjasama yang berfokuskan hasil bagi memastikan produktiviti maksimum dan penjajaran dengan keperluan industri,” kata Alex ketika dihubungi Sinar Harian.

Mengulas mengenai pendekatan kepemimpinannya, Anuar Fariz kekal berpijak di bumi nyata.

"Visi tanpa pelaksanaan hanyalah angan-angan. Di MDEC, kami memberi tumpuan kepada penyampaian hasil yang bermakna,” tegas beliau.

Ketika Malaysia menghampiri visi untuk menjadi negara digital terkemuka, kepimpinan Anuar Fariz memberikan arah dan inspirasi.

Asas yang dibina hari ini sedang membentuk masa depan di mana ekonomi digital Malaysia bukan sahaja kukuh, tetapi juga dihormati di peringkat global kerana inovasi, keterangkuman dan daya tahannya.