KDN akan pertingkat protokol keselamatan negara - Saifuddin

Iklan
Saifuddin Nasution

BUKIT KAYU HITAM – Kementerian Dalam Negeri akan mempertingkatkan protokol keselamatan serta memperketat parameter kawalan di semua pintu masuk negara susulan insiden tembakan membabitkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu penting bagi memastikan tahap keselamatan negara terus terpelihara selain mengekalkan keyakinan dalam suasana geopolitik serantau yang semakin dinamik.

Iklan
Iklan

“Kita akan mengaktifkan protokol keselamatan dan kawalan parameter...antara perkara utama yang akan dilihat ialah semakan semula undang-undang dan peraturan yang diguna pakai ketika ini bagi menilai sama ada ia masih memadai atau memerlukan penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan Lawatan Rasmi ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini pada Sabtu.

Iklan

Sehubungan itu, Saifuddin berkata, semakan semula undang-undang dan peraturan sedia itu termasuk Akta AKPS bagi memastikan keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan, penahanan dan pelepasan di pintu masuk negara.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan pengukuhan operasi melalui perkongsian maklumat serta integrasi data antara agensi penguatkuasaan bagi memastikan kawalan sempadan dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.

Iklan

Dalam masa sama, pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) akan diteruskan secara berperingkat termasuk pemasangan 635 pintu automatik serta sistem saringan awal penumpang, walaupun pelaksanaan penuh sistem itu dijangka siap pada 2029.

Beliau berkata, sementara menunggu sistem berkenaan lengkap, kawalan akses berlapis akan diperkukuhkan melalui penggunaan teknologi biometrik, pengesahan identiti serta pemantauan kamera litar tertutup di pintu masuk negara.

“Kita sedang melaksanakan reformasi pintu masuk negara termasuk pemasangan auto-gate dan pelaksanaan sistem saringan awal penumpang sebagai sebahagian daripada sistem bersepadu. Namun ancaman keselamatan berlaku sekarang, sebab itu kawalan akses berlapis perlu dilaksanakan sementara menunggu sistem ini lengkap,” katanya.

Mengulas siasatan kes tembakan berkenaan, Saifuddin berkata, polis menjalankan siasatan secara profesional dan terperinci dengan meneliti pelbagai sudut termasuk kemungkinan jenayah terancang, unsur dendam atau kaitan dengan aktiviti penyeludupan.

Menurutnya, siasatan juga berkemungkinan membabitkan elemen luar negara sekiranya memerlukan kerjasama pihak berkuasa negara jiran.