PAPAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya merekodkan nilai rampasan mencecah RM1.09 juta sepanjang 10 hari pelaksanaan Ops Pantau di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 295 kes hasil pemeriksaan ke atas 16,059 premis melibatkan bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam dan pasar basah selain kedai runcit serta premis perniagaan lain.
"Setakat 26 Februari 2026, sebanyak 16,059 pemeriksaan telah dijalankan di lokasi-lokasi tumpuan dan daripada keseluruhan pemeriksaan ini, sebanyak 295 kes direkodkan dengan nilai rampasan mencecah RM1,093,810.65.
"Daripada jumlah keseluruhan kes itu, sebanyak 229 kes melibatkan pengeluaran kompaun dengan nilai keseluruhan sebanyak RM57,500," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Pengalat (SMK) Pengalat, di sini, pada Sabtu.
Menurut Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar, kesalahan paling tinggi dikesan adalah kegagalan memaparkan tanda harga dengan 143 kes, diikuti kesalahan berkaitan alat timbang dan sukat sebanyak 78 kes.
Katanya, daripada keseluruhan pemeriksaan itu, sebanyak 6,268 dijalankan di bazar Ramadan di seluruh negara dan hanya dua kes direkodkan.
"Kes melibatkan kegagalan meletakkan tanda harga serta penggunaan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan mengikut peraturan ditetapkan.
"Ada juga kes berkaitan isu harga yang ditularkan dan kita akan mendapatkan maklumat sebelum mengeluarkan notis kepada peniaga untuk memberi penjelasan," katanya.
Beliau berkata, situasi itu mencerminkan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan peniaga bazar Ramadan terhadap undang-undang.