TAIPING – Peniaga Pasar Pagi dan Pasar Malam Kamunting merayu campur tangan pihak berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung isu pertukaran pengurusan daripada Koperasi Usahawan Pasar Malam dan Harian Kamunting kepada pentadbiran baharu oleh Kelab Kebajikan Pesakit Buah Pinggang Perak Utara.
Peniaga mendakwa, antara masalah yang mereka hadapi termasuklah isu elektrik, perubahan tapak meniaga, syarat dokumentasi yang membebankan serta pelbagai lagi.
Azrie Mat Fauzi, 30, antara peniaga yang lantang membantah pengurusan baharu itu berkata, kelab berkenaan tidak berpengalaman dalam menguruskan pasar dan hanya dikenali sebagai entiti kebajikan untuk pesakit dialisis.
"Kami bukan tolak tanpa sebab. Kelab ini tiada rekod langsung mengendalikan pasar malam. Sepatutnya mereka jadi penganjur tapak pasar malam baru, bukan yang dah lama wujud.
"Mereka minta peniaga datang temuduga untuk proses rombakan tapak. Kami dah ada tapak tetap, kenapa perlu ubah? Sepatutnya kalau nak temuduga, itu untuk peniaga baharu, bukan kami yang dah lama di sini,” katanya.
Tambahnya, kelab berkenaan turut meletakkan syarat bahawa peniaga yang tidak mendaftar dengan mereka tidak akan dibenarkan berniaga, sekali gus mencetuskan kegelisahan dalam kalangan peniaga yang tidak pasti status masing-masing.
Seorang lagi peniaga, Shamsiah Abdul Hamid, 70, yang telah berniaga lebih 35 tahun di situ turut meluahkan rasa kurang senang dengan perubahan drastik yang cuba dilaksanakan oleh pihak pengurusan baharu.
"Dulu kami berniaga pakai khemah sendiri, kemudian koperasi bantu sediakan kemudahan termasuk bumbung dan lampu. Sekarang pengurusan baru nak ubah semuanya nak asingkan jualan, sayur di satu tempat, ikan di tempat lain.
"Barang pun tak boleh tinggal, kena angkut balik. Kami ini orang tua, ada yang naik motor saja. Nak angkut semua barang hari-hari mana larat,” katanya.
Bagi K Muniandy, 73, yang menjual hasil tani sejak lebih tiga dekad lalu, apa yang dihadapi kini menyulitkan peniaga kecil yang hanya mahu mencari rezeki harian.
"Pendapatan sehari cuma RM30 ke RM50. Tapi sekarang kami terpaksa penuhi pelbagai karenah dan syarat yang membebankan orang macam saya,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Lembaga Koperasi Usahawan Pasar Malam dan Harian Kamunting, Muhamad Zaki Yahya berkata, pihak koperasi telah mengurus pasar berkenaan selama lebih 16 tahun dengan rekod pengurusan yang bersih dan kemudahan lengkap hasil pelaburan mereka.
"Tapak ni asalnya tanah merah. Kami bina bumbung, pasang tiga tiang lampu dan menjadi lebih baik seperti yang ada sekarang. Kami juga urus sampah dan penyelenggaraan bulanan, semuanya teratur dengan kos bulanan mencecah RM4,800.
"Kenapa kelab yang tiada pengalaman dipilih untuk ambil alih? Sedangkan tiga lagi calon yang masuk tender adalah kelab usahawan,” katanya.
Zaki menjelaskan, selepas kekecohan berlaku, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengambil semula pengurusan untuk tempoh tiga bulan sehingga Julai, namun pihak peniaga bimbang ia hanya sementara sebelum kelab tersebut kembali diberi hak mengurus tapak pasar tersebut.
"Kami harap MPT dengar suara peniaga. Kembalikan semula kepada koperasi yang terbukti telus dan berpengalaman,” tegasnya.
Pasar Kamunting yang diadakan setiap minggu merangkumi pasar malam pada hari Rabu, Khamis dan Sabtu serta pasar minggu pada hujung minggu melibatkan lebih 300 peniaga, menjadikannya antara pasar paling aktif di negeri ini dengan kutipan harian yang stabil.
Sementara itu dalam pertemuan berasingan, Pengerusi Kelab Kebajikan Pesakit Buah Pinggang Perak Utara, Saiful Hizam Abu Zarim memaklumkan pihaknya mengemukakan permohonan untuk menguruskan tapak pasar tersebut secara tender terbuka.
Jelasnya, perkara tersebut tidak berbangkit kerana pemilihan dibuat oleh MPT mengikuti kriteria yang telah ditetapkan.
"Jika kami tidak ada keupayaan untuk menguruskan tapak pasar ini, sudah tentulah permohonan kami ditolak oleh MPT. Hanya MPT sahaja yang boleh keluarkan kenyataan mengapa kami dipilih.
"Memang hasrat kita nak kekalkan peniaga yang ada. Kita tak ada hasrat nak keluarkan peniaga lama sebab bagi saya buat apa nak susah-susah cari orang baru kerana mereka sudah ada," katanya.
Jelasnya, hasrat kelab tersebut mengambil alih pengurusan terbabit bagi membolehkan lebih ramai ahli mereka menjalankan perniagaan di kawasan tersebut untuk menampung kos rawatan.
Saiful Hizam berkata, kebanyakan ahli mereka bukan dalam kalangan mereka yang berada malah kelab juga berhasrat menambah dana melalui peluang diberikan oleh MPT itu.
Selain itu katanya, beberapa syarat yang dikenakan seperti pendaftaran SSM, suntikan tifoid dan sebagainya bertujuan memastikan peniaga mematuhi peraturan serta menjaga aspek keselamatan pengunjung.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan saluran perundangan jika isu tersebut masih tidak dapat diselesaikan.