SHAH ALAM - Kerajaan dicadang mewajibkan semakan perintah gaji minimum dibuat setiap tahun bagi memastikan pelarasan upah diterima pekerja di Malaysia selari dengan peningkatan kos sara hidup.
Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Shazrul Ariff Suhaimi berkata, dasar atau strategi ekonomi sedemikian turut dilaksanakan di beberapa negara lain.
"Pada masa ini, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (NWCC) 2011 menetapkan semakan perintah gaji minimum setiap dua tahun. Namun, akta ini juga membenarkan semakan lebih awal oleh majlis berkenaan sama ada atas inisiatif mereka sendiri atau arahan kerajaan.
"Satu cadangan ialah mewajibkan semakan tahunan, selari dengan amalan di beberapa negara lain untuk memastikan pelarasan gaji minimum mengikuti peningkatan kos sara hidup.
Ditanya mengenai faktor utama menyumbang kepada jurang gaji minimum serta kos sara hidup yang sebenar, beliau berkata, ia disebabkan oleh pertumbuhan gaji yang perlahan dalam kalangan tenaga kerja.
Menurutnya, meskipun gaji minimum terbukti penting dalam merangsang pertumbuhan gaji pekerja berpendapatan rendah, namun perkara tersebut menjadi faktor yang menyumbang kepada jurang umum antara gaji dan kos sara hidup sebenar.
"Apabila kami meneliti agihan gaji dari tahun 2010 hingga 2019, didapati bahawa bagi 50 peratus pekerja peringkat bawahan, purata kenaikan tahunan sebenar hanyalah RM56 seorang.
"Kita juga sedang mengalami inflasi yang berpunca terutamanya daripada gangguan rantaian bekalan dan kejutan geopolitik seperti perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan pengumuman tarif baru-baru ini oleh AS,” katanya.
Beliau menambah, terdapat juga isu systemic lebih besar khususnya berkaitan inflasi makanan yang meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bukan sahaja disebabkan kenaikan harga makanan tetapi juga didorong oleh urbanisasi dan perubahan corak perbelanjaan makanan.
Mengulas mengenai kesan pelaksanaan gaji minimum baharu kepada pekerja khususnya bagi mereka berpendapatan rendah, Shazrul Ariff berkata, secara umumnya kenaikan tersebut memberi impak sangat bermakna kepada kumpulan berkenaan.
"Setiap kenaikan gaji minimum memberikan impak yang bermakna kepada pekerja berpendapatan rendah kerana pertumbuhan gaji progresif bagi kumpulan ini hanya dilihat pada tahun-tahun yang mengalami semakan gaji minimum.
"Mekanisme sokongan tambahan bagi isi rumah berpendapatan rendah termasuklah program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya.
Namun ujarnya, perlu ada penambahbaikan dalam aspek kesatuan sekerja dan liputan rundingan bersama agar golongan pekerja dapat berunding untuk gaji yang lebih adil.
Sinar Ahad sebelum ini melaporkan pelaksanaan gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 telah menunjukkan tahap pematuhan hampir sepenuhnya oleh para majikan sejak ia mula berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berkata, berdasarkan laporan Jabatan Tenaga Kerja, kadar pematuhan majikan terhadap Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 telah mencapai 99.5 peratus setakat Mac 2025.
"Dianggarkan seramai 4.37 juta pekerja di Malaysia telah mendapat manfaat daripada kenaikan RM200 daripada gaji minimum terdahulu iaitu RM1,500.
"Usaha kerajaan untuk meningkatkan gaji telah menunjukkan beberapa perkembangan positif. Gaji bulanan median terkini telah melepasi paras RM3,000 buat pertama kali,” kata Kesuma.
Walaupun gaji minimum telah dinaikkan, tinjauan Sinar Ahad mendapati golongan pekerja sama ada di bandar mahupun luar bandar terus bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan mengharapkan lebih banyak insentif daripada kerajaan dan majikan, seperti Kad Pekerja Madani.
Inisiatif Kad Pekerja Madani yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lalu membolehkan satu juta ahli kesatuan pekerja untuk menerima akses diskaun sehingga 30 peratus di lebih 100 syarikat yang menawarkan barangan keperluan dan perkhidmatan.