Gaji minimum: Majikan bakal ubah model operasi niaga - MEF

Iklan
Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 memberi kesan ketara kepada lanskap perniagaan di kawasan bandar, sekali gus mendorong majikan terpaksa menyesuaikan model operasi mereka untuk kekal mampan.

SHAH ALAM - Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 memberi kesan ketara kepada lanskap perniagaan di kawasan bandar, sekali gus mendorong majikan terpaksa menyesuaikan model operasi mereka untuk kekal mampan.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dalam satu kenyataan berkata, di tengah-tengah peningkatan kos operasi, pelbagai strategi termasuk automasi, pelarasan harga dan penyusunan semula tenaga kerja diambil untuk mengekalkan daya saing.

Iklan
Iklan

Katanya, walaupun langkah tersebut membawa peluang meningkatkan kualiti tenaga kerja dan kepuasan pekerja, ia juga mengundang cabaran kepada keuntungan perniagaan terutama bagi perusahaan kecil serta sederhana.

"Banyak majikan dalam sektor runcit, restoran dan logistik kini lebih bergantung kepada teknologi dan automasi sebagai langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja berkemahiran rendah yang melakukan kerja berulang.

Iklan

"Penyusunan semula tenaga kerja turut dijalankan dengan memperkenalkan syif separuh masa dan konsep kemahiran pelbagai dalam kalangan pekerja bagi meningkatkan produktiviti serta menyesuaikan saiz tenaga kerja mengikut keperluan operasi lebih fleksibel,” katanya.

Menurut MEF, bagi sektor yang tidak memerlukan tenaga kerja sepenuh masa, penggunaan sumber luar turut dijadikan pilihan.

Iklan

Jelasnya, sebagai contoh, tawaran penyediaan platform gig ekonomi untuk operasi penghantaran dan logistik menjadi pilihan majikan bagi mengurangkan keperluan menggaji pekerja sepenuh masa.

"MEF juga mendapati beberapa perniagaan berinovasi dengan menawarkan produk premium yang membawa margin keuntungan lebih tinggi untuk menyeimbangkan kos buruh.

"Namun, kenaikan harga ini boleh beri impak kepada daya saing perniagaan terutama bagi perusahaan kecil yang terpaksa menghadapi persaingan harga sengit,” katanya.

Sementara itu, MEF mengakui bahawa syarikat-syarikat besar lebih mampu untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan gaji minimum berbanding perusahaan kecil, medium dan sederhana (PKMS) yang lebih terdedah kepada kesulitan.

"Dalam menghadapi situasi ini, banyak PKMS mungkin terpaksa mengurangkan saiz tenaga kerja atau menggantung pengambilan pekerja baharu untuk mengurangkan kos operasi.

"Kenaikan gaji minimum akan terus memberi kesan kepada pengambilan pekerja, pengekalan dan daya saing perniagaan bandar di Malaysia. Kesan keseluruhan berbeza mengikut sektor, saiz syarikat dan tahap penyesuaian mereka,” katanya.