2,000 hektar tanah di Israel musnah terbakar

Iklan
Kebakaran hutan marak di kawasan bukit di barat Baitulmaqdis pada 2 Mei, menyebabkan kerosakan besar dan operasi pemadaman giat dijalankan. - Xinhua

BAITULMAQDIS - Kira-kira 2,000 hektar kawasan berbukit di luar Baitulmaqdis dilaporkan musnah dalam kebakaran yang bermula pada Rabu lalu, lapor Sky News.

Perkhidmatan ambulans melaporkan sekurang-kurangnya 12 individu telah dirawat di hospital, kebanyakannya akibat terhidu asap.

Iklan
Iklan

Namun, perkhidmatan bomba memaklumkan tiada rumah yang terjejas setakat ini.

Pada Khamis, sebanyak 10 pesawat pemadam api digerakkan bagi menyembur bahan penahan api dan lapan lagi pesawat bantuan dari luar negara dijangka tiba.

Iklan

Negara seperti Sepanyol, Perancis, Croatia, Ukraine dan Romania antara yang menghulurkan bantuan melalui penghantaran pesawat khas.

Menurut Tal Volvovitch dari Pihak Berkuasa Bomba dan Penyelamat Israel, kebakaran ini adalah yang paling besar yang pernah berlaku dalam tempoh sedekad.

Iklan

Bagaimanapun, arahan pemindahan bagi kira-kira 12 kawasan berhampiran Baitulmaqdis telah ditarik balik dan laluan utama yang menghubungkan Baitulmaqdis ke Tel Aviv juga dibuka semula pada Khamis.

Sehari sebelumnya, pengguna jalan raya terpaksa meninggalkan kenderaan mereka apabila api mula menghampiri lebuh raya berkenaan.

Menurut Tabung Nasional Yahudi yang menguruskan hutan, usaha memadamkan kebakaran masih diteruskan namun ia kini dikatakan hampir berjaya dikawal.

Agensi itu turut menyatakan keadaan cuaca yang panas dan kering serta ditambah kekurangan hujan musim sejuk dan tiupan angin kencang menyumbang kepada penyebaran api yang cepat.

"Apabila berlaku beberapa tahun kemarau berturut-turut, ia menjadikan kawasan hutan sangat mudah terbakar,” kata wakil tabung itu, Anat Gold, sambil menambah bahawa perubahan iklim mungkin menjadi punca utama kebakaran kali ini. - Agensi