NONTHABURI – Seorang ibu mendakwa pihak polis cuba melengahkan siasatan berhubung kes penderaan fizikal terhadap anak lelakinya yang menghidap autisme, dipercayai dilakukan oleh seorang guru wanita di sebuah sekolah di daerah Bang Bua Thong, Thailand.
Wanita berusia 45 tahun itu mendakwa anak lelakinya yang berusia 12 tahun ditoreh menggunakan pembaris tajam pada bahagian kaki sebelum dikurung dalam loker hampir sejam oleh guru terbabit.
Ibu berkenaan yang hanya dikenali sebagai A berkata, pihaknya cuba mendapatkan bantuan penasihat Menteri Pendidikan, Porramate Chaipatcharakunpong, bagi menjalankan siasatan susulan terhadap laporan yang difailkannya di Balai Polis Bang Bua Thong.
Menurutnya, dia mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena selepas melihat perubahan ketara pada tingkah laku anaknya.
“Dia kerap menangis, berulang kali menulis perkataan ‘loker’ dan ‘sedih’ pada kertas serta sering menyebut ‘sakit’, ‘degil’ dan ‘masuk loker’.
“Selepas berulang kali bercakap dan menenangkannya, akhirnya dia memberitahu bahawa dirinya didera oleh seorang guru wanita di sekolah,” katanya.
Kanak-kanak itu dilaporkan menjadi takut untuk ke sekolah dan menunjukkan tanda-tanda tekanan emosi selepas kejadian berkenaan.
Difahamkan, kejadian itu berlaku pada 12 Disember tahun lalu, namun hanya diketahui tidak lama kemudian selepas kanak-kanak autisme tersebut menceritakan kejadian sebenar.
Ibu mangsa turut memaklumkan bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berkenaan menunjukkan guru tersebut mengiringi anaknya keluar dari bilik darjah, dengan kanak-kanak itu kelihatan murung dan berjalan seolah-olah menahan kesakitan.
Tambahnya, keadaan anaknya ketika itu jelas berbeza berbanding semasa dia memasuki bilik darjah sebelum kejadian.
Bagaimanapun, guru terbabit menafikan semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.
Sementara itu, pihak polis turut menafikan dakwaan bahawa siasatan dilengahkan, sebaliknya memaklumkan siasatan masih berjalan kerana perlu menyoal semua murid yang terlibat, termasuk kanak-kanak berkenaan.
Menurut polis, guru tersebut dijangka dipanggil semula bagi membantu siasatan lanjut. - Agensi