Kanak-kanak Gaza teruja kembali bersekolah

Iklan
Sesi pembelajaran di Beit Lahia, utara Gaza itu melibatkan kira-kira 400 murid.

GENTING GAZA - Toulin al-Hindi tidak mengeluh walaupun terpaksa menuntut ilmu di bawah khemah sementara.

Kanak-kanak berusia tujuh tahun itu tetap bersyukur kerana dapat kembali bersekolah selepas perang ganas melanda Genting Gaza lebih dua tahun lalu.

Iklan
Iklan

Dia bersama kira-kira 400 rakannya yang lain mengikuti sesi pembelajaran di sekolah sementara di bawah khemah plastik di tapak runtuhan kawasan Beit Lahia di utara wilayah berhampiran Garisan Kuning yang dikawal ketat tentera Israel.

Ketika sesi persekolahan baru-baru ini, lebih 12 budak perempuan terpaksa bersesak di dalam khemah kecil ketika cuaca sejuk masih mencengkam enklaf berkenaan.

Iklan

Kumpulan itu teruja belajar dan menyanyi bersama guru yang menulis pada papan hitam.

"Kami tidak kisah hanya duduk di lantai asalkan dapat bersekolah semula," kata Toulin.

Iklan

Yasmine al-Ajouri membantu anaknya menyiapkan kerja rumah yang diberikan guru.

Ibunya, Yasmine al-Ajouri berkata, dia tetap bimbang dengan keselamatan anaknya memandangkan Zionis masih mengebom wilayah tersebut.

"Saya selalu berpesan kepadanya supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling dan segera cari tempat berlindung jika serangan berlaku," ujarnya.

Kakitangan di sekolah Toulin juga memberitahu, mereka mendengar bunyi serangan hampir setiap hari.

"Kami mengajar kesemua murid supaya segera berbaring apabila terdengar bunyi letupan kuat. Hanya ini yang dapat kami lakukan untuk menghadapi situasi berbahaya. Kami berserah kepada ALLAH," jelas penyelia sekolah, Yara Abu Ghalweh.

Meskipun serangan berskala besar telah dihentikan, tentera Israel tetap menyasarkan penduduk Palestin yang menghampiri Garisan Kuning yang kononnya mengancam askar mereka.

Sejak gencatan senjata rapuh berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, lebih 440 penduduk Palestin terkorban akibat hujan peluru yang masih berterusan.

Menurut penduduk Palestin, Zionis semakin ligat memindahkan penanda konkrit kuning ke arah barat untuk memperkukuhkan lagi cengkaman mereka ke atas Gaza. - Agensi