Jururawat digantung tugas gara-gara kekasih tunjuk prihatin tak kena tempat

Iklan
Lelaki terbabit sering datang ke hospital pada waktu malam untuk menemani kekasihnya bertugas. Foto: South China Morning Post.

QINGDAO - Seorang jururawat di sebuah hospital swasta di China digantung tugas selepas membenarkan teman lelakinya menemaninya bertugas ketika syif malam, lapor South China Morning Post.

Tindakan itu terbongkar selepas jururawat terbabit memuat naik rakaman video di media sosial, kononnya untuk mempamerkan keprihatinan kekasihnya.

Iklan
Iklan

Video yang tular pada 2 Januari lalu memperlihatkan teman lelakinya turut membantunya melaksanakan tugasan perubatan bersama-sama.

“Saya dan teman syif malam saya,” tulis jururawat itu menerusi kapsyen video yang kemudiannya mengundang kecaman hebat warga maya.

Iklan

Teman lelaki yang bekerja pada waktu siang itu dilaporkan sering datang ke hospital pada waktu malam semata-mata mahu menemani ‘kesayangannya’ bertugas.

Rakaman turut mendedahkan lelaki terbabit kerap berada di hospital berdasarkan pertukaran pakaian berbeza dalam beberapa klip video.

Iklan

Lebih mengejutkan, lelaki itu turut melakukan tugasan klinikal termasuk menulis laporan pesakit bagi pihak jururawat berkenaan.

Dia juga dirakam menyentuh komputer hospital selain membantu menyediakan ubat-ubatan serta melabel botol titisan intravena (IV) untuk pesakit.

Pengguna media sosial di China menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan pesakit serta mempersoalkan siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku kesilapan dalam pemberian ubat.

Susulan penularan video tersebut, jurucakap hospital mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci dan menyifatkan insiden itu sebagai serius.

Pihak hospital turut menyatakan kekesalan terhadap tindakan jururawat terbabit yang dianggap tidak menggunakan akal fikiran dalam melaksanakan amanah sebagai petugas perubatan.

Menurut kenyataan terbaharu daripada Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Qingdao, jururawat berkenaan telah digantung tugas secara rasmi atas kesalahan melanggar disiplin kerja.

Pihak berkuasa menegaskan bahawa garis dasar keselamatan perubatan tidak boleh dikompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana petugas yang melanggar peraturan.