ALOR SETAR – Seorang pesawah nyaris maut apabila traktor yang dipandunya terjunam ke dalam parit sedalam tujuh meter di jambatan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kampung Kubang Panggas, Kubang Rotan, pada Ahad lalu.
Mangsa, Rosli Che Daud, 50, berkata kejadian berlaku pada jam 12 tengah hari ketika dia dalam perjalanan pulang selepas membajak sawah di kawasan berhampiran.
"Saya cuba membuat pusingan tetapi jalan yang sempit dan curam menyebabkan traktor hilang kawalan lalu terus menuju ke tebing sebelum terjatuh ke bawah jambatan.
"Ketika itu, saya hanya fikirkan keselamatan nyawa dan terus melompat keluar sebelum traktor terjunam. Mujur saya sempat bertindak pantas, jika tidak mungkin keadaan lebih buruk,” katanya ketika ditemui di lokasi pada petang Selasa.
Tambahnya, kejadian itu berlaku di laluan yang menjadi jalan utama penduduk kampung, namun keadaan jalan yang tidak sekata dan curam sering kali mengundang bahaya, terutamanya pada waktu malam.
Rata-rata penduduk ditemui mengakui turut menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan jambatan RTB yang sedang dalam pembinaan sejak tahun 2013.
Menurut seorang penduduk, Abdul Rahim Lazim, 44, projek ini mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya kerana tiada penghadang keselamatan dan keadaan jalan yang berlubang.
"Sudah banyak kemalangan berlaku di sini, ada kereta tersangkut di tebing dan kini traktor pula terjunam. Kami harap langkah segera diambil supaya insiden sebegini tidak berulang,” ujarnya.
Jelas Abdul Rahim, kejadian traktor terjatuh menjadi satu isyarat kuat untuk pihak berwajib memberikan perhatian serius kepada keselamatan penduduk yang melalui laluan tersebut pada setiap hari.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Datuk Mohd Salleh Saidin, bersama Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Ir Ahmad Solihin Budarto turun melakukan lawatan ke lokasi insiden untuk menilai aspek keselamatan.
Mohd Salleh semasa ditemui berkata, susulan lawatan berkenaan, JPS telah bersetuju melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan segera, termasuk menambun tanah di kawasan cerun, memasang penghadang keselamatan dan lampu berkelip (blinker) di jambatan tersebut.
"Langkah ini adalah demi kesejahteraan penduduk yang menggunakan laluan ini setiap hari,” katanya.
Beliau juga menegaskan komitmen pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan pengguna menjadi keutamaan, sambil memaklumkan projek RTB tersebut dijangka siap pada Oktober ini.