ALOR SETAR - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah untuk mengambil tindakan segera mengawal populasi anjing liar berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, tindakan ini perlu dilaksanakan secara proaktif kerana isu anjing liar melibatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan orang ramai.
Menurutnya, tindakan segera dan bersepadu mengawal populasi anjing liar juga digiatkan menjelang penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 yang dijangka menarik lebih 400,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa.
"PBT diarahkan untuk memastikan aspek keselamatan orang awam dan pelancong sentiasa terpelihara khususnya sepanjang tempoh penganjuran acara berprestij tersebut.
"Kehadiran anjing liar khususnya di kawasan tumpuan pelancong dibimbangi boleh mencetuskan insiden tidak diingini. Kita tidak mahu berlaku insiden pelancong cedera akibat serangan anjing liar yang boleh menjejaskan imej negara,” katanya menjawab soalan lisan Amar Pared Mahamud (Bersatu-Kuah) mengenai langkah kerajaan negeri menangani isu serangan anjing liar di Langkawi pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.
Bagaimanapun Mansor berkata, pendekatan yang digunakan dalam operasi penangkapan anjing liar perlu dikendalikan secara berhemah dan mengikut garis panduan ditetapkan.
"Semua tindakan hendaklah berpandukan undang-undang sedia ada serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diselaraskan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Tangkapan mesti dilaksanakan tanpa mencederakan haiwan tersebut,” katanya lagi.
Menurutnya, arahan itu dikeluarkan pada Mac berikutan kejadian di Kampung Dedek, Kuah, Langkawi, di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun mengalami kecederaan serius selepas diserang tujuh anjing liar.
"Saya telah arahkan PBT menguatkuasakan undang-undang kecil sedia ada untuk uruskan anjing liar. Mereka mendapat sokongan penuh saya, keselamatan awam adalah paling penting.
”Bagi menangani isu di Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) telah menggiatkan operasi selain jalankan pemandulan 800 ekor anjing daripada populasi anjing liar di Langkawi iaitu hampir 2,090 ekor,” katanya.
Menurutnya, tindakan lain bagi menangani isu anjing liar termasuk menjalankan rondaan secara berjadual dalam kawasan seliaan PBT serta pemeriksaan di kawasan perumahan bagi memastikan pemilik anjing menjaga anjing peliharaan dengan baik dan mempunyai lesen memelihara anjing.
Mansor turut melahirkan rasa kesal terhadap insiden di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Baling, membabitkan dua anjing Rottweiler menyerang dan mencederakan lima individu awal bulan ini.