Ketua polis balai kantoi dadah ditukarkan, dikenakan tindakan tatatertib

Iklan
Rusdi dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Isnin. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR - Ketua polis balai yang ditahan kerana mengambil dadah ketika berhibur di pusat hiburan di Pandan Perdana, Ampang Jaya, Jumaat lalu akan dikenakan tindakan tatatertib oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pegawai berkenaan yang bertugas di sebuah balai polis di bawah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu juga sudah ditukarkan ke bilik gerakan IPK Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

"Kita tidak berkompromi dengan apa-apa salah laku jenayah kepada sesiapa saja di negara ini termasuk pegawai dan anggota pasukan tanpa mengira pangkat," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Isnin.

Rusdi berkata, seramai 17 individu termasuk seorang pegawai polis ditahan dalam serbuan di pusat hiburan berkenaan.

Iklan

"Hasil saringan awal air kencing mendapati pegawai polis berkenaan positif (dadah). Tindakan tegas akan diambil. Tindakan (tatatertib) menyusul kerana ambil dadah dan positif itu sudah menjadi kesalahan jenayah," katanya.

Rusdi berkata, siasatan pastinya akan dijalankan daripada setiap sudut dan beliau mengingatkan sebagai anggota polis mereka tidak boleh mengunjungi pusat hiburan.

Iklan

"Berada di pusat hiburan tak boleh kecuali untuk tugas, itu ada arahan khusus dan bekerja tetapi kalau kita bekerja kita mesti mendapat kebenaran daripada ketua kita," katanya.

Pada Ahad, media melaporkan, seorang ketua balai polis kantoi mengambil dadah ketika berhibur di pusat hiburan di Pandan Perdana, Ampang Jaya pada Jumaat lalu, selepas ujian air kencing mengesahkan ada empat jenis bahan terlarang dalam tubuhnya.

Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ketika berhibur dan dipercayai mengambil jus disyaki mengandungi dadah di pusat hiburan itu.