Jambatan bailey dibina sementara ganti jambatan runtuh di Sungkai

Iklan
Mohammad Nizar (tiga dari kanan) menunjukkan keadaan semasa jambatan runtuh di Sungai Liat, Sungkai.

IPOH - Kerajaan Perak sudah memulakan kerja-kerja membina jambatan bailey bagi menghubungkan laluan yang terputus susulan kejadian jambatan runtuh di Sungai Liat, Sungkai, Sabtu lalu.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, jambatan tersebut dijangka disiapkan sebelum 29 April ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembinaan segera perlu dibuat bagi memastikan urusan penduduk setempat khususnya di Kampung Orang Asli Sungai Tisong serta resort yang berada di kawasan tersebut.

"Kerajaan negeri bersetuju supaya dibina jambatan bailey untuk laluan sehala dengan secepat yang mungkin. Kita jangka kalau dimulakan hari ini, maka jambatan itu akan dapat digunakan lebih kurang enam atau tujuh hari dari sekarang.

Iklan

"Dengan adanya jambatan ini maka laluan dapat digunakan terutama pelajar-pelajar sekolah yang kebanyakan anak Orang Asli di Kampung Tisong yang belajar di Sungkai," katanya pada sidang akhbar di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.

Sementara itu, Mohammad Nizar berkata, punca berlakunya runtuhan tersebut disebabkan oleh kepala air yang membawa sisa-sisa kayu seterusnya merosakkan gelung pembetung jambatan tersebut.

Iklan

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan sungai di kawasan tersebut juga telah dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memudahkan pembinaan jambatan sementara itu.

Beliau turut mengakui jambatan tersebut tidak diselenggarakan selama 20 tahun memandangkan ia tidak didaftarkan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Bagaimanapun katanya, perkara itu telah diselesaikan dan akan didaftarkan di bawah MARRIS bagi membolehkan jambatan tersebut diselenggara secara berkala.

Mohammad Nizar turut memaklumkan sebagai langkah keselamatan, beberapa penduduk turut dipindahkan dari kawasan tersebut termasuk ibu mengandung dan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis.

Media pada Ahad melaporkan,seramai 136 individu termasuk 81 pelajar sebuah politeknik terkandas akibat kejadian itu.