Dua lagi anggota bomba dipantau kerana komen jelik

Iklan
Nor Hisham

Menggunakan media sosial untuk membuat ulasan tidak wajar

KOTA BHARU - Dua lagi anggota bomba kini dipantau susulan tindakan mereka dipercayai memuat naik komen jelik terhadap individu secara terbuka di media sosial.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, tindakan itu bertentangan dengan etika penjawat awam dan boleh mencemarkan nama baik jabatan.

Iklan
Iklan

"Sebagai penjawat awam, kita tidak boleh mengulas secara terbuka isu sensitif seperti raja, kaum, agama dan dasar kerajaan atau memberi komen peribadi menggunakan bahasa kasar.

"Sebelum ini, seramai 18 anggota dikenakan surat peringatan dan seorang anggota bomba bantuan digantung tugas kerana melanggar etika penggunaan media sosial manakala kini dua lagi dalam pemantauan,” katanya.

Iklan
Nor Hisham (tengah) beramah mesra dengan penerima anugerah bomba negeri Kelantan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Bomba dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Kelantan di sini pada Isnin.

Dalam majlis itu, seramai 10 anggota dan pegawai bomba penerima Pingat Perkhidmatan Bomba dan 54 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang selain tujuh bomba menerima Sijil Perkhidmatan 30 Tahun kerana tempoh perkhidmatan hampir tiga dekad.

Iklan

Nor Hisham berkata, ada juga anggota yang memberi komen terhadap polisi agensi lain dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap rakan sekerja di media sosial yang disifatkan tidak selari dengan garis panduan sebagai penjawat awam.

Menurutnya, pemantauan sedang dijalankan terhadap dua individu yang diadu berkenaan bagi memastikan tindakan selanjutnya dibuat dengan adil.

Malah kata beliau, penggunaan media sosial ketika waktu bertugas rasmi turut menjadi perhatian susulan aduan orang awam.

Nor Hisham (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah PerkhidmatanCemerlang kepada pegawai bomba Kelantan.

"Norma kerja bomba berbeza. Sebagai contoh pada syif malam, anggota berada dalam mod bersedia dari jam 10 malam hingga 8 pagi.

"Pada waktu tersebut, ada anggota yang guna media sosial atas pelbagai tujuan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, dua pegawai diberikan surat penghargaan atas inisiatif memanfaatkan medium itu secara positif dengan menjawab soalan awam menerusi media sosial yang dilihat membantu mendekatkan masyarakat dengan tugas anggota bomba.

"Walaupun ada aduan dibuat, kita raikan usaha murni mereka dan beri penghargaan kerana dapat mendidik orang ramai dengan cara yang baik,” katanya.