KOTA KINABALU – Kertas siasatan berhubung kes bunuh seorang wanita yang dikerat anggota badannya akan dilengkapkan bergantung kepada siasatan terhadap suspek yang ditahan sebelum ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, setakat ini pihaknya masih dalam proses menjalankan siasatan terhadap suspek yang ditahan berkaitan kes tersebut.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan bergantung kepada maklumat yang kita terima termasuk membabitkan dua lagi tangkapan baharu-baharu ini.
“Setakat ini masih dalam proses siasatan, kita tidak boleh dedahkan kesemuanya. Tunggu siasatan lanjut dibuat dan hasilnya akan diketahui kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melancarkan Op Selamat Tahun Baharu Cina peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan lanjut berhubung tangkapan empat suspek yang disyaki terlibat susulan penemuan mayat mangsa yang dikerat di tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar, pada Khamis lalu.
Ditanya hasil bedah siasat sama ada terdapat elemen jenayah lain ditemui, beliau memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan tersebut.
“Malah, dua lagi anggota badan yang belum ditemui juga masih dalam proses pencarian,” katanya.
Pada Khamis lalu, beberapa anggota badan termasuk kaki, tangan, badan dan kepala ditemui di dua lokasi berhampiran tempat pembuangan sampah di kawasan tersebut.
Mangsa wanita berusia 44 tahun dikenal pasti sebagai tunang kepada suspek utama iaitu seorang lelaki berusia 71 tahun dan motif pembunuhan setakat ini dipercayai disebabkan cemburu serta pertikaian mengenai wang yang digunakan sepanjang perhubungan tersebut.
Tiga lagi individu termasuk anak suspek utama turut ditahan bagi membantu siasatan dan setakat ini kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, mengulas mengenai Op Selamat, Syed Lot memaklumkan IPD Kota Kinabalu memfokuskan aspek keselamatan jalan raya, kesesakan lalu lintas dan keselamatan rumah yang ditinggalkan sepanjang cuti perayaan ini.
“Justeru, kita menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan memastikan kenderaan dalam keadaan selamat.
“Penghuni yang meninggalkan rumah juga dinasihatkan supaya memaklumkan kepada pihak polis untuk melakukan rondaan keselamatan bagi mengelakkan kejadian pecah rumah dan sebagainya,” katanya.