KUALA LUMPUR – Seorang lelaki diburu polis selepas dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian khianat memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sekitar Jinjang sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan pertama pada 16 Februari kira-kira jam 8.40 pagi.
Beliau berkata, laporan dibuat oleh seorang lelaki Melayu berusia 38 tahun yang bekerja sebagai juruteknik ATM di sebuah bank di Jinjang Selatan.
"Pengadu memaklumkan semasa menjalankan kerja penyelenggaraan, dia mendapati empat skrin mesin ATM telah retak dan disyaki akibat perbuatan khianat oleh individu tidak dikenali.
"Jumlah kerugian bagi kejadian tersebut dianggarkan kira-kira RM4,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, pada 17 Februari antara jam 12.24 tengah hari hingga 10.16 malam, polis menerima empat lagi laporan berkaitan kejadian sama.
"Dua kes berlaku di cawangan bank di Jinjang Selatan, manakala masing-masing satu kes dilaporkan di Jinjang Utara melibatkan dua bank berbeza.
"Jumlah keseluruhan kerugian bagi empat kejadian itu dianggarkan sekitar RM60,000,” katanya.
Beliau berkata, susulan laporan diterima, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul melancarkan operasi khas bagi mengesan dan menahan suspek.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, suspek merupakan seorang lelaki yang bangsa masih belum dapat dikenal pasti.
"Suspek dianggarkan berketinggian kira-kira 165 sentimeter, berbadan sederhana dan berkulit cerah.
"Ketika kejadian, suspek memakai kemeja lengan pendek warna kelabu, seluar panjang serta selipar hitam," katanya.
Basri berkata, suspek juga dipercayai memakai topi keledar warna biru dan menaiki motosikal jenis Honda Wave berwarna biru dengan nombor pendaftaran masih belum dikenal pasti.
"Siasatan mendapati modus operandi suspek adalah dengan memasuki kawasan kaunter ATM sebelum memecahkan skrin mesin menggunakan objek disyaki batu.
"Selepas melakukan perbuatan tersebut, suspek akan terus melarikan diri dari lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata, setakat ini tiada unsur jenayah lain dikenal pasti berkaitan kejadian tersebut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Terdahulu, tular satu video di media sosial yang memaparkan kejadian melibatkan seorang lelaki bertindak memecahkan skrin mesin ATM di sebuah premis perbankan dipercayai di sekitar Jinjang.