SHAH ALAM - Kerajaan disaran melaksanakan kajian mendalam bagi memastikan teknologi pemprosesan nadir bumi (REE) dari China adalah selamat dalam jangka masa panjang sebelum meluluskan sebarang operasi perlombongan REE berskala besar di negara ini.
Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd Rasid Jaapar berkata, ia kerana kaedah perlombongan seperti larut lesap setempat yang diterima pakai di China, masih menimbulkan persoalan dari segi kesannya terhadap air bawah tanah dan struktur tanah.
Justeru menurutnya, pematuhan terhadap standard operasi prosedur (SOP) dalam perlombongan REE juga perlu dikaji semula dengan mengambil kira kesan jangka panjang terhadap biodiversiti dan habitat semula jadi.
"Saya masih lagi tertanya-tanya, adakah perlombongan REE di peringkat huluan (upstream) melalui proses larut lesap setempat (in situ leaching) telah dibuktikan tidak akan mencemarkan air bawah tanah dan juga tanah itu sendiri.
"Saya difahamkan kaedah ini diterima pakai di China tapi tidak di negara barat atas isu pencemaran. Oleh itu, syarikat perlombongan, agensi kerajaan dan juga pengkaji perlu membuktikan kaedah yang digunakan adalah selamat dan lestari dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, China sedia berkongsi teknologi pemprosesan REE, yang akan menjana lebih nilai berbanding mengeksport secara mentah.
Mengulas lanjut, Abd Rasid mengakui perkongsian teknologi China mampu mempercepatkan usaha Malaysia meneroka sumber REE negara dengan lebih produktif, namun ia perlu dalam keadaan menang-menang.
Justeru ujar beliau, kerajaan perlu bijak dalam mengatur perjanjian perkongsian yang menguntungkan Malaysia dan China dalam jangka Panjang.
"Kita kena faham bahawa REE sekarang telah menjadi isu geopolitik dunia di mana banyak negara berebut mencari REE. Keadaan ini sama dengan petroleum satu ketika dulu.
"Jika REE diteroka, dilombong dan diproses secara lestari akan menjadi sumber ekonomi negara yang tidak terperi,” katanya.
Beliau juga percaya Malaysia mempunyai kepakaran teknikal dan tenaga kerja mahir yang mencukupi untuk mengendalikan pemprosesan REE secara selamat dan efisien.
"Keberadaan Syarikat Lynas di Malaysia bukan sahaja telah meletakkan Malaysia di peta dunia dari segi pemain REE tetapi juga telah menghasilkan tenaga kerja mahir tempatan yang mampu untuk mengendalikan pemprosesan REE secara selamat dan efisien.
"Saya sendiri telah terlibat di Lynas selama lebih tujuh tahun sebagai sub-perunding melihat kehebatan anak-anak tempatan di Lynas,” katanya.
Sementara itu, Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Nor Shahidah Mohd Nazer menyifatkan, kesediaan China berkongsi teknologi pemprosesan REE sebagai peluang keemasan untuk Malaysia membangunkan modal insan berkemahiran tinggi, serta membina fasiliti pemprosesan REE yang setara dengan negara pelopor REE lain.
Katanya, ia juga meningkatkan kemampuan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang menghasilkan produk REE dan meningkatkan daya saing dan kekuatan ekonomi di persada global.
"Kita telah ada projek rintis REE menggunakan teknik suntikan bahan kimia di Malaysia. Bermakna kita telah mula mewujudkan kepakaran dan kemahiran tempatan, namun ini dalam konteks perlombongan, iaitu pengeluaran bahan mentah, pemprosesan memerlukan fasiliti dan teknologi terkini. Negara kita masih di dalam fasa permulaan.
"Pada dasarnya, kepakaran tempatan belum matang dan memerlukan bantuan negara besar seperti China untuk latihan dan perkongsian teknologi,” katanya.
Bagaimanapun tegas beliau, Malaysia perlu memastikan teknik perlombongan mampan sahaja dijalankan bukan perlombongan konvensional berkonsepkan lombong dedah yang boleh memusnahkan alam sekitar.
"Teknik suntikan kimia juga perlu dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa dari segi tatacara pelaksanaan untuk mengawal sebarang perubahan kimia tanah dan air bawah tanah yang boleh mengubah kestabilan landskap secara keseluruhan,” katanya.