PASIR PUTEH - Industri perikanan negara berdepan cabaran apabila jumlah nelayan kapal perikanan laut dalam atau C2 di Kelantan berkurang lebih 50 peratus dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, keadaan itu dibimbangi menjejaskan kelangsungan bekalan ikan negara jika trend berkenaan berterusan.
"Dahulu kita ada sekitar 360 kapal laut dalam yang aktif, kini hanya tinggal 70 sahaja di Tok Bali.
"Pengurangan ini disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk tiadanya subsidi minyak untuk nelayan kelas C2 dan kekurangan ekosistem sokongan seperti kilang pemprosesan serta kemudahan pembaikan kapal,” katanya selepas Majlis Rahmah Mesra Madani bersama nelayan di Penempatan Semula Nelayan Tok Bali di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, industri perikanan memerlukan ekosistem lengkap untuk berkembang dan tanpa sokongan tersebut, banyak kapal besar berhijrah ke pelabuhan lain seperti Kuantan, Pahang atau Endau, Johor.
"Kita tidak boleh selesa dengan bekalan ikan semasa yang stabil kerana sekiranya trend ini berlarutan, keadaan akan memberi kesan kepada agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.
Dalam program sama, LKIM menyerahkan sumbangan wang tunai RM500 dan bantuan bakul makanan kepada 289 nelayan dari daerah Bachok serta Pasir Puteh yang terkesan akibat banjir dengan jumlah keseluruhan RM144,500.
Seramai 12 nelayan pesisir pantai turut menerima enjin bot 40 kuasa kuda di bawah peruntukan Program Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan B40 melibatkan kos RM180,000.
Muhammad Faiz berkata, usaha itu sebahagian daripada inisiatif berterusan LKIM untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing nelayan, selain meringankan beban mangsa bencana.
"Saya mahu lihat Tok Bali muncul sebagai hab perikanan negara kerana kita sudah ada kompleks dan tenaga kerja.
"Masalah bekalan air di kawasan itu juga perlu diselesaikan segera supaya pelabur berminat membina kilang berkaitan industri perikanan di sini,” katanya.