Tembok sempadan Malaysia-Thailand dijangka dibina tahun ini

Iklan
Sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok Rantau Panjang.

KOTA BHARU – Pembinaan tembok keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan dijangka akan bermula tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata, fasa pertama projek melibatkan rundingan untuk pengambilan 420 lot tanah di kawasan di sepanjang tebing Sungai Golok.

Iklan
Iklan

“Pengambilan tanah bernilai lebih RM250 juta ini perlu diselesaikan terlebih dahulu kerana melibatkan pelbagai hak milik termasuk tanah kerajaan, individu dan sebahagian tanah yang tiada pemilik jelas.

“Selepas pengambilan tanah selesai, baru pembinaan tembok akan dimulakan,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Isnin.

Iklan

Mohd Yusoff berkata, projek berkenaan adalah usaha strategik kerajaan untuk memperkukuh keselamatan sempadan, mengawal penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Tembok itu juga akan bertindak sebagai struktur keselamatan strategik termasuk membantu kawalan banjir di kawasan sungai, tambahnya.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan RM1.5 bilion bagi pembinaan tembok berkenaan.

Geografi Sungai Golok yang sempit dan airnya cetek menyebabkan kawalan keselamatan sukar dilaksanakan secara konvensional meskipun dengan bantuan teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan, dron atau kamera litar tertutup.

Oleh yang demikian, pembinaan tembok itu menjadi satu keperluan strategik untuk mengekang penyeludupan sekali gus mempertahankan kedaulatan negara.