Ugut KP Kelantan: Dipercayai ada kaitan lebih 100 kes along dibuka semula

Iklan
Simbol yang diconteng pada dinding lapang sasar di Bachok. Gambar kecil: Mohd Yusoff.

KOTA BHARU - Tindakan tegas Ketua Polis Kelantan membanteras habis-habisan sindiket pinjaman wang haram atau along dengan membuka semula siasatan lebih 100 kes lama atas kesalahan itu dipercayai menjadi antara punca ugutan terhadap beliau.

Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, beliau mengarahkan semakan semula kes-kes lama membabitkan ugutan terhadap peminjam along yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) di peringkat daerah.

Iklan
Iklan

“Dari Januari hingga November tahun lalu sahaja, kami membuka semula 72 kes.

“Sehingga Disember, jumlah itu meningkat kepada lebih 100 kes selepas diklasifikasikan semula apabila dikenal pasti wujud prima facie,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, pada Isnin.

Iklan

Menurut beliau, kes-kes berkenaan melibatkan mangsa yang diugut selepas gagal membayar pinjaman atau faedah melampau termasuk mengikut Seksyen 5(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Katanya, mangsa sindiket along bukan sahaja dalam kalangan orang kampung, malah turut membabitkan guru dan individu berjawatan tetap yang terjerat hutang sehingga mengalami tekanan melampau.

Iklan

“Bayangkan pinjam RM40,000, sudah bayar RM200,000, tetapi masih tidak selesai, zalim.

“Ada mangsa menjadi stres teruk sehingga timbul kecenderungan membunuh diri,” ujar Mohd Yusoff.

Katanya lagi, pembanterasan along tersebut antara lima fokus utama pentadbiran beliau selain dadah dan keselamatan sempadan.

Beliau turut mendedahkan sindiket along yang beroperasi di negeri ini dibawa masuk dari luar seperti Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang, yang beroperasi melalui rangkaian ‘gangster’ tempatan.

Tambah Mohd Yusoff, kumpulan along juga dikenal pasti sering menggunakan kaedah ugutan fizikal dan psikologi termasuk simbah cat, conteng harta dan ugutan terbuka yang lazimnya bersifat jenayah komersial.

Beliau tidak menolak kemungkinan sindiket along bertindak balas terhadap tekanan berterusan polis, khususnya selepas tindakan tegas diambil terhadap kegiatan mereka dalam tempoh singkat.

“Saya tidak takut dengan sebarang ugutan, saya akan terus menyiasat semua sudut,” ulang beliau.

Mengulas contengan simbol “11–2=9” yang berupa ugutan di dinding pintu masuk lapang sasar Bachok berkenaan, Mohd Yusoff berkata, polis tidak membuat sebarang kesimpulan awal kerana simbol tersebut berkemungkinan dicipta secara sengaja bagi mengelirukan siasatan.

Minggu lalu, akhbar melaporkan empat lelaki lingkungan usia 20-an diambil keterangan bagi membantu siasatan kes ugutan berkenaan.