TUMPAT - Seorang peniaga kedai makan di Kampung Geting di sini sanggup berhabis ribuan ringgit hanya untuk membeli haiwan eksotik yang diminatinya.
Bagi Wan Nor Amalina Wan Razak, 35, lebih 30 haiwan eksotik miliknya mampu menjadi terapi dan mengeratkan hubungan bersama keluarga.
Wan Nor Amalina mula mengumpul haiwan berkenaan dengan membelinya secara dalam talian daripada pemilik haiwan yang mempunyai hobi sama di seluruh negara sejak dua tahun lalu.
"Pada mulanya saya hanya membeli chameleon pada harga RM2,500 sebelum tertarik dengan beberapa haiwan lain termasuk katak, guinea pig dan iguana," katanya.
Wanita itu juga mempunyai tiga jenis kura-kura yang hanya hidup di darat, iaitu sulcata, leopard dan redfoot.
Menurut ibu kepada tiga anak berusia antara tiga hingga 10 tahun itu, lebih menarik, kesemua haiwan berkenaan tidak memerlukan penjagaan khas, tetapi hanya ditempatkan dalam sangkar bagi mengelakkan terlepas atau hilang.
Jelasnya, keadaan agak sukar pada peringkat awal memelihara haiwan eksotik itu kerana tindakannya sukar dijangka, sama ada menggigit atau sebaliknya.
Bagaimanapun katanya, hasil pemerhatian dan perkongsian bersama rakan-rakan yang mempunyai hobi sama di media sosial membolehkannya mengumpul maklumat mengenai haiwan tersebut.
"Penjagaan haiwan ini tidak sama. Contohnya, kura-kura perlu direndam dalam air untuk tempoh tertentu dan ada juga yang tidak memerlukan cahaya terang," katanya.
Tambahnya, menu haiwan berkenaan juga tidak mahal kerana ada antaranya hanya memakan makanan dari dapur rumah, termasuk buah dan sayur-sayuran.
"Memang saya ada menyediakan makanan khas, tetapi pada masa sama kami turut memberikan daun tumbuhan seperti mulberi yang baik untuk kesihatan haiwan ini," katanya.
Bercerita mengenai penjagaan kesihatan, Wan Nor Amalina berkata, tidak banyak perbelanjaan dikeluarkan untuk tujuan itu kerana haiwan peliharaannya jarang sakit dan tahan lasak.
Katanya, setakat ini dia hanya membawa kura-kura berjumpa doktor haiwan apabila mengalami selesema, manakala chameleon pula memerlukan rawatan mata.
"Saya banyak menghabiskan masa bersama haiwan peliharaan ini pada setiap Ahad kerana tidak berniaga. Biasanya saya akan membersihkan sangkar dan memandikannya.
"Kesemua haiwan ini unik kerana boleh menghilangkan stres selepas penat bekerja," katanya.
Wan Nor Amalina memberitahu pernah kehilangan dumpy frog dari Australia yang menjadi haiwan kesayangannya, namun dia reda dan membeli yang lain sebagai ganti.
"Katak jenis ini tidak berbahaya dan hanya makan dua kali seminggu," katanya.
Jelasnya lagi, hobi itu turut dikongsi bersama kanak-kanak di kampung berkenaan yang kadang-kadang datang untuk bermain.
"Alhamdulillah, setakat ini belum ada kejadian yang tidak diingini kerana kesemua haiwan ini juga jinak dan dikurung dengan baik," katanya.