KOTA BHARU – Sebanyak 180 Rumah Ngaji berdaftar di seluruh Kelantan akan melalui proses penyeliaan dan penarafan lebih sistematik bagi memastikan kualiti pengurusan serta pelaksanaan aktiviti selari dengan matlamat penubuhannya.
Pengarah Program Bengkel Penyelia dan Penarafan Rumah Ngaji Negeri Kelantan, Noraidah Moner berkata, usaha itu dimulakan menerusi bengkel selama sehari melibatkan 24 orang penyelia dan pembantu penyelia zon yang dilantik pada penghujung 2025.
Menurutnya, ia bagi memberi pendedahan menyeluruh berkaitan kaedah penyeliaan dan mekanisme penarafan Rumah Ngaji.
“Sebanyak 12 zon telah diwujudkan mengikut daerah iaitu Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tumpat, Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang.
“Daerah Kota Bharu pula dibahagikan kepada tiga zon berikutan keluasan kawasan serta jumlah Rumah Ngaji berdaftar yang lebih tinggi berbanding daerah lain,” katanya pada Rabu.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Kelantan, Datuk Adnan Hashim yang merasmikan Bengkel Penyelia dan Penarafan Rumah Ngaji Negeri Kelantan yang diadakan di Hotel Citra Kadok, Ketereh di sini pada Rabu.
Beliau berkata, setiap penyelia zon bertanggungjawab memastikan aktiviti Rumah Ngaji di bawah seliaan masing-masing berjalan lancar mengikut prosedur, garis panduan dan bentuk aktiviti yang telah diselaraskan agar penyeliaan serta penarafan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Ujarnya, peserta bengkel turut dibekalkan modul aktiviti bertema berlandaskan ayat dan surah al-Quran terpilih bagi menyeragamkan pendekatan pendidikan serta pengisian program di peringkat akar umbi.
Tambah beliau, bengkel tersebut menampilkan tiga penceramah berpengalaman dalam bidang Rumah Ngaji iaitu Dr Abdullah Sudin, Ustazah Wan Maziyah Wan Salleh dan Timbalan Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan, Ustaz Muhamad Bukhori.
“Niat utama penganjuran bengkel ini adalah untuk menaik taraf pengurusan Rumah Ngaji agar lebih efisien, tersusun dan berkualiti, sekali gus boleh dijadikan contoh kepada Rumah Ngaji baharu.
“Ia selari dengan visi untuk mendidik masyarakat kembali kepada al-Quran dengan membaca, memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian,” katanya.
Menurut Noraidah, kebanyakan aktiviti yang dirancang memberi penekanan kepada usaha ‘Saving the Ummah’ bagi membendung gejala sosial serta menjauhkan masyarakat daripada kancah kemungkaran.
Beliau berkata, elemen kerja berpasukan turut ditekankan sebagaimana yang digariskan dalam Surah As-Saff ayat empat iaitu kepentingan bergerak dalam satu saf yang tersusun dan kukuh.